POLIS telah memanggil 11 individu berhubung siasatan penularan WhatsApp melibatkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang didakwa ditahan di Perasing, Terengganu.

Isu penularan itu turut dimuat naik dalam laman sesawang Info Negara Kini pada 28 Mei lalu pada pukul 4.50 petang.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, siasatan dijalankan Unit Jabatan Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) dilakukan susulan hantaran berkenaan yang turut memaparkan gambar Mohd. Khairuddin dan seorang wanita.

Kata beliau, hantaran tersebut telah dikongsikan sebanyak 9,300 kali oleh pengguna media sosial.

Beliau memaklumkan, semua percakapan dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab memuat naik hantaran tersebut.

Baca artikel berkaitan: Pemimpin UMNO bersemangat menyerang – Khairuddin

“Polis juga akan merakam percakapan individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes sebelum kertas siasatan dirujuk ke pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis sebelum ini dilaporkan membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti kesalahan yang berlaku dalam insiden sekatan jalan raya (SJR) melibatkan Mohd. Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, pada 16 Mei lalu.

Kertas inkuiri itu dbuka bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan jika ada berlaku apa-apa kesalahan.

Dalam pada itu, Abdul Jalil turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin tidak berasas tanpa mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi.

“Sebarang bentuk penyebaran berita palsu dengan menggunakan platform media sosial merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram