Dr Noor Hisham Abdullah

KADAR kebolehjangkitan atau nilai R-naught (Rt) negara terus berada di bawah angka 1.00 buat hari ke-16 berturut-turut.

Berdasarkan jumlah 4,611 kes dilaporkan semalam, kebolehjangkitan susut kepada 0.96 berbanding 0.97 yang dikesan hari sebelumnya.

Kali terakhir negara merekodkan kebolehjangkitan di paras 1.00 adalah pada 5 Jun lalu dengan sebanyak 7,452 jangkitan baharu dilaporkan.

Sebagai rekod, Rt tertinggi dicatatkan negara adalah 1.21, 22 Mei lalu.

Walau bagaimanapun, dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Perak mencatatkan nilai Rt melebihi angka 1.00.

Nilai Rt di Negeri Sembilan terus kekal berada melebihi 1.00 manakala Perak kembali naik selepas beberapa hari merekodkan di bawah kadar 1.00.

Negeri Sembilan merekodkan 1.02 iaitu turun sedikit berbanding 1.05 yang dicatatkan kelmarin.

Baca artikel berkaitan: 4,611 kes baharu, Lembah Klang turun, Perak melonjak

22 lagi kluster, kes sporadik juga masih tinggi di Lembah Klang

Perak pula meningkat juga kepada 1.02 selepas merekodkan 0.90 hari sebelumnya.

Negeri-negeri lain pula masih kekal berada di bawah 1.00 walaupun ada yang meningkat sedikit semalam.

Data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam media sosialnya mendapati kebolehjangkitan terendah direkodkan di Terengganu iaitu 0.68 – kekal berbanding kelmarin manakala tiada kes baharu dicatatkan di Perlis.

Pahang dan Pulau Pinang pula masih berada dalam lingkungan 0.70 walaupun masing-masing naik sedikit kepada 0.77 dan 0.79.

Beberapa negeri termasuk Selangor, Melaka dan Kedah turut menyaksikan peningkatan sedikit masing-masing kepada 0.95; 0.94 dan 0.92, semalam.

Pada masa sama, kebolehjangkitan di Sarawak kekal berada pada kadar 0.99 berdasarkan kepada 682 kes dicatatkan semalam.

Kuala Lumpur turut kekal 0.96.

Beberapa negeri lain termasuk Sabah, Johor dan Labuan masih berada pada kadar melebihi 0.90 namun merekodkan sedikit penurunan.

Rt di Sabah turun kepada 0.93; 0.99 di Johor manakala kebolehjangkitan di Labuan susut kepada 0.95.

Dua lagi kawasan iaitu Kelantan dan Putrajaya pula masing-masing merekodkan 0.82 dan 0.83.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram