Insiden pergaduhan yang tular melibatkan seorang lelaki dengan sekumpulan penghantar makanan di Setia Alam semalam./ Gambar media sosial.

SEMALAM tular video sekumpulan lelaki penghantar makanan memukul seorang pemandu lori di media sosial.

Mengikut polis, ia susulan kemalangan jalan raya melibatkan seorang penunggang motosikal penghantar makanan dengan sebuah lori.

Lalu, kejadian itu mengundang pergaduhan oleh sekumpulan lelaki dari sebuah syarikat penghantar makanan.

Justeru, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib meminta masyarakat untuk tidak mengambil sebarang tindakan melulu.

Katanya, dalam apa jua situasi, semua pihak perlu mengelak terlibat dengan pelanggaran undang-undang.

Mengenai insiden berkenaan, kata Baharudin, dua penghantar makanan ditahan semalam kerana dipercayai terlibat dalam kejadian sekumpulan penghantar makanan memukul seorang pemandu lori di Jalan Persiaran Setia Perdana, Setia Alam.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berumur 20 dan 25 tahun itu ditahan di sekitar Shah Alam selepas kejadian tersebut berlaku pada 5.30 petang semalam.

Baca artikel berkaitan: Penghantar makanan dihentak penukul, suami pelanggan ditahan

“Setakat ini, dua tangkapan telah dibuat ke atas lelaki penghantar makanan yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

“Usaha untuk mengesan suspek lain yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu lori yang dipercayai warga tempatan itu juga akan hadir ke balai polis hari ini untuk membuat laporan berhubung insiden tersebut.

Menurut Baharudin, cawangan trafik IPD Shah Alam juga membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera bagi mendapatkan keputusan,” jelasnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram