AMIN terdengar bunyi ketukan pintu. Cepat-cepat dia berlari dan tombol dipulas.

“Yeey… Ayah balik! Ayah balik!” jerit Amin riang apabila melihat ayahnya muncul di muka pintu. Tanpa membuang masa Amin menolong bawakan briefcase ayahnya. Dia dongakkan kepala menatap wajah si ayah yang keletihan itu sambil tangan ayah digenggam erat.

“Ayah…  ayah kerja kat pejabat dapat berapa ringgit sejam?” kanak-kanak berusia tujuh tahun itu tiba-tiba bertanya.

“Itu bukan urusan Amin, buat apa sibuk-sibuk nak tanya?”

Terkejut Amin apabila ayah meninggikan suara. Mata si ayah bulat merenungnya. Wajahnya masam.

“Amin cuma nak tau aja,” Amin merayu manja.

Si ayah diam. Dia duduk di sofa, memejamkan mata memikirkan masalah kerja dan kerugian syarikat yang perlu ditebus semula. Pertanyaan Amin tadi langsung tidak diendahkan.

“Cakaplah ayah, berapa ringgit?” tanya Amin lagi.

Si ayah mula naik radang. Ditenungnya Amin dan dia menengking, “RM20 sejam! Apasal nak tau sangat ni, hah?” jerkah si ayah. Dia melepaskan genggaman tangan Amin dengan kasar.

“Oh, RM20. Hmm… ayah, kasi Amin RM10, boleh?” Amin merayu lagi.

RM10?

Si ayah makin baran. Dihempasnya surat khabar yang baru hendak dibaca dan… “Ooo… inilah sebabnya kamu sibuk nak tanya gaji ayah, ya? Duit, duit, duit! Kamu nak buat apa dengan RM10 tu? Nak beli mainan? Nak beli keropok? Dah, jangan nak mengada-ngada, pergi tidur! Pergi!” si ayah menengking. 

Amin masuk ke bilik sambil menangis.

Amin tunduk memandang lantai, tidak berani memandang wajah bapanya yang sedang menyinga. Dari petang hingga pukul 10  malam Amin menunggu, ini yang dia dapat. Amin melangkah perlahan menuju bilik sambil mengesat air yang bertakung di kelopak mata.

Lima minit kemudian si ayah berdiri di muka pintu bilik Amin. Amin terbaring, masih belum tidur, terkedip-kedip memandang ayah menghampiri katilnya.

“Amin nak duit, ya?” tanya si ayah yang dihambat rasa bersalah.

Amin mengangguk.

“Nah… jangan beli yang bukan-bukan tau!” ucap si ayah lembut sambil mengusap-usap rambut Amin. Sekeping not merah diletakkan ke telapak tangan anaknya itu.

“Yeay! Terima kasih ayah!” Amin bersorak dan mencium pipi ayahnya beberapa kali. Dia mengangkat bantalnya kemudian mengeluarkan sekeping not merah yang sudah renyuk.

Dah ada RM10, minta RM10 lagi?

Si ayah yang baru sejuk hatinya, terus naik berang, rasa macam hendak ditampar saja anaknya itu. “Ni duit apa pulak ni? Kamu curi, ya? Siapa ajar kamu mencuri ni?! Hah?”

“Ttt… tak… Amin tak curi,” Amin geleng-gelengkan kepalanya. “Ddd… duit ni Amin kumpul daripada duit belanja sekolah yang ayah kasi tiap-tiap hari. Amin mintak lagi RM10 sebab Amin tak cukup duit. Tapi sekarang Amin dah ada RM20. Cukup dah,” jawabnya terketar-ketar.

“Banyak ni! Kamu nak beli apa sampai RM20?” si ayah bertanya dengan bengis.

“Aa… Aa… Amin nak beli sejam daripada masa ayah kat pejabat tu. RM20, kan? Esok Amin nak ayah balik awal,” Amin bersuara dan menghulurkan dua keping not merah itu kepada ayahnya. 

Si ayah terdiam. Wajahnya serta-merta berubah, dada menjadi sebak dan air mata mula menitis di pipi. Lantas dicium anak tunggalnya itu dengan rasa bersalah.

“Ayah, kita dah lama tak makan bersama, kan? Amin rindu sangat nak makan malam dengan ayah,” tambah Amin sambil menatap wajah ayahnya.

Walau bagaimana sibuk dan tertekannya hidup kita. jangan sekali-kali abaikan kaish sayang kepada anak.

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam