BERITA gembira untuk sukarelawan kesihatan yang terlibat dalam proses vaksinasi dan pengurusan Covid-19 apabila kerajaan mengumumkan saguhati mereka dinaikkan kepada RM100 sehari mulai bulan ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seramai 19,000 sukarelawan kesihatan dijangka menerima saguhati itu dengan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM180 juta.

“Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju supaya bayaran saguhati kepada sukarelawan kesihatan ditingkatkan daripada RM50 sehari kepada RM100 sehari.

“Ia membabitkan sukarelawan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula bulan ini.

“Selain itu, bayaran saguhati ini turut diperluaskan kepada sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan selain daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar  selepas meninjau PPV Dewan Muafakat Bukit Gambir, di Tangkak seperti dilapor Harian Metro.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir, turut mengadakan lawatan rasmi ke PPV Dewan Serbaguna Pagoh dan menghabiskan masa kira-kira 30 minit bertanya khabar penerima vaksin daripada masyarakat Orang Asli.

Perdana Menteri  berkata, sebelum ini beliau mengarahkan Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula kadar bayaran kepada sukarelawan kesihatan supaya dapat ditambah jumlahnya dengan bilangan penerima diperluas secepat mungkin.

“Jumlah keseluruhan peruntukan untuk saguhati sukarelawan kesihatan adalah sebanyak RM327 juta iaitu jumlah bayaran saguhati sebelum ini, membabitkan RM147 juta serta elaun baharu membabitkan RM180 juta.

“Kenaikan kadar saguhati ini adalah pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan mereka yang bertungkus lumus berusaha memastikan rakyat Malaysia dapat menerima suntikan vaksin dengan teratur, cepat dan selamat.

“Langkah ini juga membuktikan kerajaan seriu dalam meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara yang terus menerus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dari hari ke hari,” katanya.

Beliau berkata, lebih ramai rakyat Malaysia yang divaksinasi, bermakna lebih ramai yang akan dilindungi daripada jangkitan Covid-19 sekali gus negara akan mencapai imuniti kelompok.