Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim./ Gambar fail FB IPK KL.

NAMA kumpulan penjenayah ini ‘Geng Sakai’ sempena gelaran ketuanya yang berusia lewat 40-an.

Jenayah terancang dilakukan geng ini pula semua ada – dari pengedaran dadah, senjata api hinggalah kekerasan dan bunuh.

Namun, akhirnya geng ini tumpas di tangan polis apabila ketuanya bersama 23 ahli geng itu berjaya ditangkap.

Selain dadah, turut dirampas daripada geng ini pelbagai kereta mewah termasuk Porsche Macan, Mercedes dan BMW.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, operasi bersepadu berkenaan dijalankan di sekitar ibu kota, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Katanya, turut ditahan seorang remaja berusia 14 tahun dalam operasi bersepadu kelmarin.

“Dalam operasi berkenaan kita menahan 24 suspek lelaki tempatan berusia 14 hingga 47 tahun.

“Kita turut merampas dadah jenis syabu seberat 318.5 gram dan heroin seberat 445.5 gram bernilai RM9,000.

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM21,000 dan lima kereta mewah dianggarkan bernilai RM1.7 juta. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.73 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Baca artikel berkaitan: Tiga Vellfire, dadah RM9 juta dirampas dari sindiket di Cheras

Seperti dilaporkan, Azmi berkata, 18 ahli geng berkenaan direman di bawah Prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 selama 28 hari sehingga 17 Julai depan manakala enam lagi suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, keseluruhannya keahlian kumpulan itu dianggarkan kira-kira 50 orang dan ia berkembang dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, ketua kumpulan ini dan beberapa ahlinya juga pernah beberapa kali ditahan di bawah Kanun Keseksaan, namun kembali aktif selepas tindakan.

Kata Azmi, pihaknya kini sedang giat mengesan baki ahli geng berkenaan yang masih bebas.

“Polis Kuala Lumpur telah berjaya melumpuhkan kumpulan ini dan menghapuskan ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan ini,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram