Ismail Sabri Yaakob menziarahi Suria Mohammad Hasan di kediaman sementaranya di Cheras hari ini./ Gambar FB JHEV ATM

KISAH Suria Mohamad Hassan yang tinggal bawah jejantas di ibu negara bersama keluarganya terus mendapat perhatian daripada pelbagai agensi kerajaan.

Terbaru, pesara tentera berusia 58 tahun itu akan memiliki rumah sendiri dalam minggu ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan antara beliau dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah dilakukan bagi menyegerakan perpindahan rumah buat keluarga tujuh beranak itu.

Ketika ini Suria ditempatkan sementara di rumah transit di Flat Sri Johor, Cheras.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan unit flat untuk didiami secara terus dan kekal serta dengan cara sewa beli.

“Mereka sekeluarga akan berpindah dalam waktu terdekat kalau boleh sebelum akhir minggu ini.

“Flat itu terletak di Bandar Tun Razak berhampiran tempat dia berniaga, sementara pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan membantu dalam pengubahsuaian gerainya sebagai satu bantuan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga berkenaan di Flat Sri Johor hari ini.

Menurutnya, pembayaran sewa rumah terbabit akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Baitulmal.

Ismail Sabri berkata veteran terbabit sudah menerima pencen sebanyak RM1,100 sebulan namun ia dikatakan tidak mencukupi.

“Sehubungan itu, JHEV turut akan memberikan bantuan sara hidup RM300 sebulan bermula bulan ini dan ia tambahan kepada bantuan one-off oleh kerajaan diterimanya sebelum ini sebagai veteran dan penerima Pingat Jasa Malaysia,” katanya.

Sebelum ini tular mengenai tujuh beranak yang tinggal di bawah jejantas Jalan Loke Yew 6 itu sejak dua tahun lepas.

Ismail Sabri pada masa sama menyeru supaya mana-mana veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tampil berdaftar di bawah JHEV bagi memudahkan sebarang bantuan untuk disalurkan kepada golongan terbabit selepas tamat berkhidmat.

“Bekas pesara ATM yang menghadapi kesusahan dan memerlukan bantuan digesa tampil memaklumkan keadaan mereka kepada JHEV kerana kira-kira 20,000 warga veteran belum berdaftar sekali gus menyukarkan jabatan itu untuk menjejaki dan menghulurkan bantuan sewajarnya,” katanya.