Pegawai penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan bekalan barangan keperluan harian dan penguatkuasaan akta-akta di Pasar Ampangan, Pasar Awam Seremban dan mini-market sekitar Sendayan oleh pasukan penguatkuasa KPDNHEP Seremban, Negeri Sembilan. GAMBAR: Ihsan KPDNHEP

SEJAK akhir-akhir ini, ramai dalam kalangan peniaga dan warga media sosial membangkitkan isu dikenakan tindakan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Tindakan yang diambil termasuk kompaun itu sedikit sebanyak dikatakan menjejaskan operasi lebih-lebih lagi pendapatan peniaga terutama peniaga kecil telah pun terkesan akibat penularan COVID-19.

Walau bagaimanapun, KPDNHEP tampil memberi penjelasan bahawa tindakan yang diambil adalah berdasarkan maklumat dan penerangan diberikan peniaga semasa operasi dijalankan.

Kata KPDNHEP dalam kenyataan, ia juga dilakukan setelah meneliti pematuhan ke atas prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pendaftaran dalam sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0).

Sehubungan itu, KPDNHEP turut menyarankan peniaga yang tidak berpuas hati supaya merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pertimbangan selanjutnya.

Baca artikel berkaitan: Bertenang, tak benar roti Gardenia naik harga – KPDNHEP

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan bekalan barangan keperluan harian dan penguatkuasaan akta-akta di Pasar Ampangan, Pasar Awam Seremban dan mini-market sekitar Sendayan oleh pasukan penguatkuasa KPDNHEP Seremban, Negeri Sembilan. GAMBAR: Ihsan KPDNHEP

“KPDNHEP mengambil maklum beberapa isu yang dibangkitkan dalam media sosial dan portal berita sejak akhir-akhir ini berkenaan tindakan yang diambil penguat kuasa terhadap peniaga-peniaga serta premis mereka.

“Tindakan yang diambil itu berkaitan dengan Akta 342 SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan pengumumkan kerajaan mengenai penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown fasa pertama di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan itu.

Sejak pelaksanaan PKP 1.0 pada 18 Mac tahun lalu, KPDNHEP telah mengeluarkan sebanyak 473 kompaun berjumlah RM2.94 juta seluruh negara.

Kompaun tersebut dikenakan kepada peniaga yang melanggar SOP norma baharu termasuk tiada penjarakan fizikal; tidak mengimbas MySejahtera; tidak merekod kemasukan pelanggan dan tidak mematuhi waktu operasi.

Pengeluaran kompaun juga merupakan tindakan terakhir setelah advokasi awal yang diberikan masih tidak dipatuhi peniaga.

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan bekalan barangan keperluan harian dan penguatkuasaan akta-akta di Pasar Ampangan, Pasar Awam Seremban dan mini-market sekitar Sendayan oleh pasukan penguatkuasa KPDNHEP Seremban, Negeri Sembilan. GAMBAR: Ihsan KPDNHEP

Sementara itu, KPDNHEP turut menasihatkan peniaga supaya mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan termasuk menyediakan dokumen-dokumen sah ketika pemeriksaan dilakukan pegawai penguat kuasa.

Kementerian tersebut memberitahu, peniaga yang masih belum mendapat kelulusan menjalankan operasi perniagaan boleh menghubungi KPDNHEP untuk permohonan atau mendapatkan maklumat lanjut.

“Peniaga boleh menghubungi talian 03-88825881/5905 atau melalui e-mel kepada [email protected]

“Peniaga juga boleh menghubungi pejabat KPDNHEP di negeri mereka beroperasi untuk mendapatkan bantuan.

“KPDNHEP juga ingin menasihatkan semua peniaga supaya sentiasa merujuk kepada laman sesawang rasmi kementerian untuk mendapatkan maklumat terkini dan sahih di pautan www.kpdnhep.gov.my,” jelas kementerian itu lagi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram