ZAMAN teknologi ini, ramai menjadikan aplikasi media sosial sebagai medium berkongsi apa sahaja kegiatan harian.

Tidak kira gambar percutian atau video makanan, media sosial memang menjadi pilihan untuk berkongsi.

Namun begitu, nak berkongsi pun kena berpada-pada, jangan sampai tersilap langkah lebih-lebih lagi apabila melibatkan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Itu yang berlaku kepada 11 individu yang telah ditahan polis semalam.

Gara-gara memuat naik satu video di aplikasi TikTok memotong kek dengan berkumpul beramai-ramai tanpa penjarakan fizikal, polis Kedah telah menahan 11 individu termasuk dua wanita, semalam.

Baca artikel berkaitan: Langgar SOP, akta pertubuhan, 11 lelaki terlibat perarakan mayat direman

Kesemua individu yang ditahan dalam operasi sekitar Kulim, Kedah itu malah disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan kongsi gelap ‘Geng 35’.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, polis sebelum itu mengesan satu video berdurasi 44 saat di aplikasi TikTok memaparkan seorang individu sedang memotong kek berbentuk nombor ’35’ di sebuah rumah.

Kata beliau, video yang dikesan pada pukul 7 malam itu turut memaparkan seramai 15 individu berkumpul dalam sebuah rumah tanpa penjarakan fizikal.

Beliau memaklumkan kesemua individu berusia 26 hingga 61 tahun itu telah ditahan susulan penyebaran video berkenaan.

“Hasil risikan dijalankan mendapati kejadian berlaku di rumah salah seorang suspek yang meraikan sambutan Hari Bapa.

“Suspek turut disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap dengan polis telah merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit dan cincin milik suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966.

Selain itu, kes berkenaan juga disiasat di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram