Bangunan Parlimen Malaysia GAMBAR: Abd Razak Aid

AHLI-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersetuju agar Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan tetapi mengharapkan tumpuan diberikan kepada  isu dihadapi rakyat dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya suhu politik dapat diredakan, mereka dalam satu kenyataan bersama menyatakan persetujuan untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan oleh mana-mana pihak.

“Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO dan BN juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh Kerajaan sebagai suatu usaha dalam memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak Covid-19 dalam negara,” kata ahli-ahli Parlimen tersebut.

Mereka menegaskan, ahli-ahli Parlimen daripada  UMNO dan BN menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong berhubung keperluan mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin serta memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi semalam melalui kenyataan mendesak kerajaan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari dan kegagalan berbuat demikian dianggap penderhakaan dan Majlis Tertinggi UMNO akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan tindakan selanjutnya.

BERITA BERKAITAN Saya tolak Anwar, DAP – Ahli Parlimen UMNO mula bersuara

Bagaimanapun beberapa pemimpin UMNO mempertikaikan kenyataan tersebut kerana ia hanyalah cadangan Biro Politik parti itu dan bukannya keputusan Majlis Tertinggi.

Pada masa sama pemimpin komponen BN menegaskan, mereka tidak terikat dengan tempoh yang diberikan oleh Ahmad Zahid tersebut.

Mereka berkata, kesemua menteri dan timbalan menteri parti-parti berkenaan akan memastikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas dan peranan masing-masing terutamanya melibatkan tugas dan portfolio yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan Covid-19, pelaksanaan vaksinasi serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara.

“Apa yang pasti keutamaan Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO,BN adalah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan di samping masa hadapan negara Malaysia,’’ katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram