PEMBERIAN vaksin seluruh negara menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus rancak berjalan.

Hampir setiap hari jumlah dos vaksin yang diberikan memecahkan rekod tertinggi.

Semalam, buat pertama kali pemberian vaksin mencecah lebih 250,000 apabila sebanyak 250,529 dos diberikan.

Ia melibatkan sebanyak 190,244 bagi suntikan dos pertama manakala baki 60,285 lagi untuk dos kedua.

Jumlah yang makin meningkat itu sejajar dengan kenyataan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin bahawa kadar purata suntikan harian akan ditingkatkan kepada 300,000 dos dalam masa terdekat.

Sebagai rekod, kadar tertinggi suntikan dos vaksin COVID-19 sebelum ini adalah sebanyak 235,623 yang dicatatkan kelmarin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, secara keseluruhan sebanyak 6.301 juta dos telah diberikan di seluruh negara sejak PICK bermula hujung Februari lalu.

Baca artikel berkaitan: 235,623 dos vaksin diberi semalam, keseluruhan lebih 6 juta

Kata beliau, seramai 4.575 juta atau 14 peratus daripada populasi telah pun menerima suntikan dos pertama.

Beliau memaklumkan, 5.3 peratus daripada populasi atau 1.727 juta pula telah melengkapkan suntikan penuh vaksin COVID-19.

Bagi dos kedua, Dr. Adham berkata, Selangor masih mencatatkan pemberian tertinggi iaitu melibatkan seramai 226,093 individu atau 3.5 peratus daripada populasi negeri itu.

Beliau berkata, ia diikuti Sarawak yang merekodkan 188,852 individu (6.7 peratus populasi); Johor 183,709(4.9 peratus populasi); Perak 158,991 (6.3 peratus populasi) dan Kuala Lumpur 151,632 (8.5 peratus populasi).

Katanya, Sabah menjadi penerima keenam tertinggi yang telah sempurna dua dos vaksin iaitu sebanyak 135,460 seterusnya Kedah (122,597); Pahang (103,118); dan Kelantan (96,098).

“Di Pulau Pinang pula sebanyak 92,361 dos kedua pemberian vaksin telah diagihkan diikuti 75,908 di Negeri Sembilan; 76,547 di Terengganu dan 49,156 di Melaka.

“Sebanyak 31,403 dos kedua vaksin telah diberi di Perlis dan masing-masing sebanyak 21,672 dan 13,445 di Putrajaya serta Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Kuala Lumpur menjadi negeri penerima dos pertama vaksin COVID-19 tertinggi iaitu seramai 792,013 individu atau 44.7 peratus daripada populasi.

Katanya, ia sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebagai penerima tertinggi keseluruhan setakat ini iaitu sebanyak 943,645 bagi dos pertama dan kedua.

Beliau memaklumkan ia diikuti seramai 721,653 di Sarawak; 700,693 di Selangor; 394,956 di Johor dan 342,002 di Sabah bagi dos pertama vaksin telah diberi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram