BEBERAPA jam selepas ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) membuat kenyataan tidak akan menyokong undi tak percaya jika dikemukakan pada sidang Parlimen, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pula menyatakan akan mengusahakan satu petisyen untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut kenyataan Majlis Presiden PH, petisyen yang akan dipersembahkan kepada Seri Paduka itu bagi membuktikan ahli-ahli Parlimen menyokong Parlimen bersidang secepat mungkin.

Majlis Presiden PH juga menegaskan pihaknya bersedia menyertai jawatankuasa untuk mengkaji sidang Parlimen hibrid dengan syarat persidangan perlu diadakan sebelum 1 Ogos.

Majlis Presiden PH berpandangan bahawa penubuhan jawatankuasa tersebut tidak boleh menjadi alasan atau dalih untuk melewatkan sidang Parlimen.

“Selaras dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos agar Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat dapat dibentang dan dipertimbang Ahli-Ahli Parlimen.

“Pada masa yang sama, sidang yang disegerakan ini akan memberi ruang kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk membahas Pelan Pemulihan Negara, langkah-langkah mengatasi pandemik COVID-19, dan keperluan meningkatkan bantuan untuk rakyat yang sedang sangat tertekan pada waktu ini,” kata kenyataan tersebut.

Ia merupakan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

DI LANGKAWI, bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad berkata, kerajaan perlu membuat keputusan bagi memanggil sidang Parlimen lebih awal berbanding tempoh 14 hari seperti yang didesak UMNO.

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, tindakan itu perlu dibuat dalam waktu terdekat bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, agar Parlimen segera bersidang.

Tambah beliau yang juga bekas Perdana Menteri, persediaan oleh pihak kerajaan dan pengurusan Dewan Rakyat juga tidak memerlukan masa yang lama dan boleh dilakukan segera.

Katanya, pembukaan sidang Parlimen menurut bakal menjadi medan dalam mengetengahkan idea-idea dan pandangan dari Ahli Dewan Rakyat khususnya dalam mencari solusi bagi menangani penularan Covid-19.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan tempoh persidangan Parlimen akan diadakan pada September adalah tidak bertepatan dengan maksud sebenar ‘segera’ seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“(Pembukaan Parlimen) itu boleh kita achieve (dalam masa segera), (tidak perlu) perlu sampai 14 hari (seperti desakan UMNO) walaupun dikatakan notis (difahamkan) sekurang-kurangnya (perlu dikeluarkan dalam tempoh) 14 hari,

“(Sebenarnya) mereka nak buat persiapan tidak ada masalah, kita nak hadir (secara fizikal ke Parlimen), bukan nak diadakan secara hibrid (atau sebagainya). Kita nak hadir (secara fizikal) di situ, kita minta dia (Kerajaan buka Parlimen) lebih awal, sepatutnya hari ini dah ada (sidang Parlimen) tetapi (tiada).

“Yang di-Pertuan Agong kata boleh ada (sidang Parlimen segera) tetapi kerajaan tak nak adakan. (Kenyataan Takiyuddin) itu bukan segera, (maksud segera) habis lama pun 14 hari dan notis (sepatutnya sudah ada memandangkan) YDPA titah lama dah boleh ada (sidang Parlimen),” ujar beliau selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan As-Syifa Padang Matsirat.