Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di PWTC, GAMBAR: Media UMNO

‘PERTELAGAHAN’ politik dalaman UMNO semakin tegang apabila seorang demi seorang ahli Parlimen parti tersebut membuat kenyataan yang memberikan bayangan kedudukan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mula dipersoalkan.

Bermula dengan ketegasan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd.Yazid menolak sebarang jajaran baharu melibatkan kerjasama UMNO dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, disusuli dengan pendedahan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa ada Ahli Parlimen UMNO mengaku menandatangani dokumen menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, hari ini, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pula ‘melepaskan pelurunya’.

Ahli Parlimen Padang Rengas seperti dilaporkan beberapa media mendakwa,  majoriti daripada 42 anggota parlimen Barisan Nasional (BN)  telah hilang kepercayaan terhadap Ahmad Zahid.

Nazri memberitahu Malaysiakini bahawa akuan bersumpah (SD) ditandatangani sebagai ‘akuan mandat 25 ahli-ahli parlimen BN’ kepada Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sekiranya Ahli Parlimen Sembrong itu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Apabila saya dapat tahu Agong nak jumpa ketua-ketua parti, saya tidak lagi percaya kepada Ahmad Zahid. Pada Oktober Ahmad Zahid memberi maklumat yang mengelirukan kepada Agong bahawa Ahli Parlimen BN menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri. Saya percaya Hishammuddin untuk mengatakan yang sebenarnya bahawa kita tidak menyokong Anwar atau DAP,” kata Nazri 

Bagaimanapun Nazri  enggan mendedahkan berapa ramai anggota Kabinet yang menandatangani SD tersebut dan menegaskan ia bukan bertujuan untuk menyokong Hishammuddin sebagai Perdana Menteri.

Hakikatnya apa yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen tersebut membayangkan Ahmad Zahid kini berhadapan dengan krisis kepercayaan bukan sahaja di dalam parti itu tetapi juga BN.

Ia memandangkan sebelum ini, pemimpin-pemimpin BN  kecewa apabila Ahmad Zahid bertindak memecat Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung BN dan melantik Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan tanpa berunding dengan mereka.

Berikutan itu baru-baru ini Ahmad Zahid melantik bekas Menteri Besar Perak, Datuk Dr.Zambry Abd Kadir menggantikan Ahmad Maslan.

Minggu ini apabila Ahmad Zahid memberikan tempoh 14 hari kepada kerajaan mengadakan sidang Parlimen dan kegagalan berbuat demikian dianggap penderhakaan dan Majlis Tertinggi akan memutuskan tindakan lanjut, pemimpin BN menegaskan, mereka tidak terikat dengan gesaan Presiden UMNO itu.

Di dalam UMNO pula, Ahmad Zahid mewujudkan keraguan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti itu terhadap hubungannya dengan Anwar walaupun UMNO sudah memutuskan dasar ‘No Anwar, No DAP’.

Beberapa peristiwa sebelum ini yang mengaitkan hubungan Ahmad Zahid dengan Anwar telah mencetuskan keraguan berhubung tindak tanduk Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut.

Ahmad Zahid pernah dikaitkan mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dan baru-baru ini tersebar rakaman audio yang didakwa perbualan beliau dengan Anwar selepas perhimpunan agung UMNO.

Dalam isu surat kepada Yang di-Pertuan Agong hanya ibupejabat UMNO menafikannya manakala Ahmad Zahid tidak memberi sebarang komen manakala bagi isu rakaman audio, Ahmad Zahid menganggap ia politik keji dan jahat serta menegaskan akan membuat laporan polis tetapi sehingga ke hari ini tiada laporan polis dibuat.

Semua keadaan itu mewujudkan keraguan dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO terhadap ketelusan kepemimpinan Ahmad Zahid dalam megemudi parti itu khususnya melibatkan soal Jajaran Baharu yang ditegaskan beliau sebelum ini.

Namun begitu dengan pendedahan Nazri, ramai pemerhati politik percaya banyak lagi adegan politik akan berlaku dalam UMNO sekaligus mungkin meletakkan kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden parti dalam keadaan ‘tidak selesa’.