parti dadah
AKIBAT terlalu berseronok ketika PKP, tujuh ditahan kerana langgar SOP dan dadah. - Gambar hiasan

KETIKA orang ramai menahan diri dari keluar rumah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, tujuh individu berumur antara 21 dan 37 tahun mengadakan majlis sambutan hari jadi.

Bukan itu sahaja, tetamu yang hadir di majlis yang diadakan di sebuah kondominimum di Seksyen 7, Shah Alam awal pagi semalam itu turut ‘dihidangkan’ dengan dadah jenis syabu dan yaba.

Selepas mendapat maklumat daripada orang awam, polis telah menyerbu kediaman itu dan pemeriksaan mendapati satu majlis sambutan hari jadi sedang diadakan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata, polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita yang berada di majlis tersebut kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Polis juga menemui lima paket berisi dadah disyaki syabu anggaran berat 4.42 gram, dan satu paket berisi tujuh biji pil yaba.

“Sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan ke atas mereka mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 yang bernilai RM4,000 setiap satu,” katanya dalam satu kenyataan.

BERITA BERKAITAN Bahana dadah, bekas anggota kumpulan BTOB, Ilhoon dipenjara dua tahun

Baharudin berkata, semua suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi menjalani ujian saringan air kencing, yang mana empat lelaki dan seorang wanita didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Katanya, lima suspek didapati mempunyai rekod kesalahan kesalahan lampau berkait dadah manakala, dua lagi tiada sebarang rekod.

“Kesemua mereka direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram