shopee penipuan

DALAM keadaan ekonomi negara sekarang, ramai telah kehilangan pekerjaan, tetapi ada pihak kini cuba mengambil kesempatan itu dengan menawarkan peluang pekerjaan yang tidak pernah wujud.

Syarikat e-dagang, Shopee hari ini tampil menjelaskan bahawa, pihak polis telah memaklumkan mengenai kewujudan satu sindiket penipuaan kini aktif menyamar sebagai pekerja platform atas talian itu dengan menawarkan peluang pekerjaan melalui aplikasi WhatsApp.

Shopee dalam satu kenyataan media berkata, mereka tidak pernah mengupah mana-mana pihak untuk mengambil pekerja baharu melalui platform pesanan seperti WhatsApp.

“Shopee juga mengesahkan bahawa jawatan ‘Ejen Pembelian Atas Talian’ tidak wujud di organisasi ini,” kata kenyataan itu.

Syarikat itu juga mengingatkan rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap sindiket penipuan ini, dan tidak menjadi mangsa kepada tawaran pekerjaan palsu tersebut.

Baca artikel berkaitan: Bermula dengan 3 biji kubis, kini jadi tauke kimchi tersohor

Sekiranya sesiapa ditawarkan peluang pekerjaan yang mencurigakan, atau telah menjadi mangsa sindiket-sindiket penipuan seperti ini, sila hubungi balai polis berdekatan dan buat laporan polis dengan segera.

Shopee juga berkata, akan terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menangani sindiket-sindiket penipuan ini.

Bagi mereka yang berminat untuk meneroka kerjaya di Shopee, sila layari https://careers.shopee.com.my untuk maklumat lebih lanjut.

Selain itu, jika anda berasa ragu-ragu mengenai pekerjaan yang diiklankan atau ditawarkan, sila hubungi [email protected] untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut sebelum mengambil sebarang tindakan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram