AKTRES Datin Sofia Jane meluahkan rasa kesal terhadap sikap sesetengah penghantar makanan yang menunggang motosikal secara berbahaya tanpa mengendahkan soal keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
Lebih membimbangkan lagi, menurut pelakon Mira Edora, mereka (penunggang motosikal) turut melanggar lampu isyarat sekaligus boleh mendatangkan bahaya buat pelintas jalan kaki.
“Saya mohon penunggang motosikal yang menghantar makanan, berpada-padalah. Lampu merah jangan main langgar.
“Orang nak lintas jalan seperti berhadapan dengan maut setiap kali di lintasan. Saya faham kalian nak capai kuota harian tapi janganlah sampai nak menjemput maut,” luah Sofia menerusi akaun Twitter miliknya.
Dalam pada itu, Sofia,49, turut meminta penunggang motosikal yang melalui kawasan perumahan untuk memperlahankan kelajuan agar tidak mengundang kecelakaan kepada orang lain.
“Siap hon mereka di lintasan pejalan kaki. Kalau memandu di kawasan perumahan, perlahanlah. Budak-budak, orang tua nak berjalan pun susah takut dilanggar. Apa nak jadi ini? Kalau nampak lintasan pejalan kaki, perlahankan kenderaan bukan main bedal.
“Dah tak ada undang-undang jalan raya ke? Ini baru motosikal, belum lagi saya meroyan pasal pemandu kereta. Bawa kereta macam samseng di tempat letak kereta. Belum lagi jalan raya,” katanya.
Ciapannya itu turut mendapat reaksi pengguna Twitter lain yang bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh Sofia. Warganet turut meluahkan kebimbangan dengan sikap kurang cakna penunggang motosikal yang seolah-olah memperjudis nyawa sendiri dan nyawa orang lain di atas jalan raya.