Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah berkenan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kembali bersidang pada 12 Ogos depan.

Dalam hantaran di laman Facebook rasmi Seri Paduka, Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat di Kota Iskandar, pada tarikh tersebut.

“Saya mahu semua Ahli DUN bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan negeri Johor terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi negeri Johor dengan sebaiknya.

“Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat yang dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang. Saya juga kecewa kerana sehingga hari ini, masalah penularan virus COVID-19 masih belum dapat diselesaikan,” titah baginda seperti dipetik Royal Press Office (RPO) Johor.

Sultan Ibrahim bertitah demikian selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Penasihat Undang-Undang Johor, Amir Nasruddin, pagi tadi.

Baca artikel berkaitan: Sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin – Agong

Raja-Raja Melayu berpendapat tak perlu lanjut Darurat, sokong pendirian Agong

Seri Paduka turut menerima menghadap Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu bagi mendapatkan laporan keadaan pandemik COVID-19 di negeri itu.

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudin berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan itu setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan.

Ahmad Fadil berkata demikian dalam kenyataan selepas Al-Sultan Abdullah selesai berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Dalam kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pula berkata, Raja-Raja Melayu menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen segera bersidang.

“Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar DUN dibolehkan bersidang secepat mungkin.

“Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang sedang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan COVID-19 wajar diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram