ayob khan
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay./ Gambar Facebook Polis Johor

UMUM mengetahui dalam keadaan ketidakstabilan ekonomi ketika ini akibat penularan COVID-19, ramai menerima impak termasuk kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan.

Namun begitu, ada juga segelintir yang cuba mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.

Bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan tidak wujud, malah melakukan penipuan hinggakan mangsa kerugian wang ringgit.

Itu yang berlaku di Johor selepas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya menangkap 22 suspek dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan tawaran kerja sambilan sebagai ejen laman beli-belah dalam talian, Lazada.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, operasi serbuan dilakukan JSJK Johor pada pukul 4 petang sehingga 11 malam, kelmarin di empat buah kediaman berpagar dan berpengawal di Kota Tinggi.

Kata beliau, kesemua suspek iaitu masing-masing 11 lelaki dan 11 perempuan itu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan sebagai pusat perkhidmatan kepada mereka yang berminat menjadi ejen secara dalam talian.

Baca artikel berkaitan: Dulu buat aktiviti pelancongan, kini seludup rokok RM9.3 juta tumpas – Ayob Khan

Beliau memaklumkan, suspek berusia di antara 15 hingga 28 tahun itu menerima gaji antara RM1,000 hingga RM3,000.

Ayob Khan berkata, pusat perkhidmatan itu dipercayai telah beroperasi sejak sebulan lalu dan sering bertukar lokasi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket ini menjalankan operasi menerusi ibu pejabat di lokasi lain yang akan membuat hebahan melalui aplikasi WhatsApp secara rawak dengan menawarkan kerja sambilan bagi menjana pendapatan.

“Mangsa diarahkan untuk menghubungi nombor telefon disertakan dalam mesej berkenaan. Talian yang dihubungi mangsa akan dijawab kumpulan yang kami tangkap ini dan menawarkan pelbagai pakej sama ada untuk menjadi ejen biasa atau VIP dengan dijanjikan komisen 8 dan 15 peratus bergantung kepada barang yang dijual.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun keldai. Dalam tempoh 10 hingga 15 minit mereka dijanjikan untuk menerima upah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai rangkaian lebih meluas disebabkan ibu pejabat yang masih belum dikenal pasti beroperasi di mana.

Beliau berkata, sindiket tersebut juga memberi tumpuan kepada mangsa warganegara Singapura dengan polis telah merampas 48 unit telefon bimbit, 12 komputer riba, dua buku latihan serta dua modem internet dalam serbuan berkenaan.

“Buat masa ini siasatan masih dijalankan kerana kita belum dapat kenal pasti di mana ibu pejabat sindiket ini beroperasi. Kita juga akan bekerjasama dengan Bukit Aman.

“Kalau kita dapat tahu di mana ibu pejabat mereka beroperasi, kita akan dapat keseluruhan pusat perkhidmatan di seluruh Malaysia. Mungkin ada banyak lagi pusat perkhidmatan seperti ini.

“Kita baru lepas proses dokumentasi dengan soal siasat belum dimulakan. Selepas dah dapat maklumat lanjut baru kita dapat maklumat jelas berapa ramai telah ditipu dan berapa jumlah kerugian keseluruhan mangsa,” jelas beliau.

Kesemua suspek telah direman selama tiga hari sehingga esok dengan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman maksimum 10 tahun penjara dan sebatan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram