suami isteri

Perkahwinan merupakan ikatan suci tanda penyatuan jiwa antara lelaki dan perempuan. Di dalam Islam pula, perkahwinan bermaksud akad yang menghalalkan hubungan di antara lelaki dengan perempuan untuk hidup bersama serta menetapkan tiap-tiap pihak hak dan tanggungjawab.

Ia adalah saluran untuk meneruskan keturunan manusia di muka bumi. Sudah menjadi lumrah dan fitrah manusia yang dijadikan berpasang-pasangan.

WANITA: Apakah erti sebenar sebuah perkahwinan? Adakah ia sekadar perkongsian hidup ataupun lebih daripada itu?

Perkahwinan bukan sekadar perkongsian hidup. Jangan salah faham tentang makna di sebalik perkongsian itu. Apa yang anda tahu, selepas berkahwin perlu berkongsi tempat ting- gal, bantal, sudu garpu dan lain-lain. Bukan sebenarnya. Perkongsian itu membawa maksud yang lebih daripada sudut material semata-mata.

Menurut surah An-Nisa 4:21, perkahwinan adalah sebuah perjanjian yang kuat di mana ia mengajar supaya rumah tangga yang dibina berasaskan kepada perasaan kasih sayang dan kebaikan hati. Kehidupan yang bakal dilalui pada masa sekarang dan hadapan kelak memerlukan perancangan kedua-dua belah pihak. Oleh itu, sikap positif seperti saling bantu membantu, hormat menghormati, bertanggungjawab dan sebagainya perlu wujud dalam sesebuah perkahwinan itu.

WANITA: Bagaimana pula dengan kesediaan?

Tidak dinafikan bahawa sudah menjadi tanggungjawab si suami untuk mencari wang demi menyara seisi keluarga. Sementara tugas isteri pula memasak, membasuh dan menguruskan rumah tangga. Begitulah realiti masyarakat kita apabila menyebut tentang peranan masing-masing setelah mendirikan rumah tangga.

Zaman seperti itu sebenarnya sudah lama berlalu. Anda dan pasangan perlu bersedia untuk memikul tanggungjawab untuk memenuhi hak masing-masing dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jika kita lihat pada masa kini, si isteri juga keluar bekerja untuk menambah pendapatan sekali gus menolong suami yang berpendapatan rendah.

Ingatlah, Islam amat menganjurkan keadilan dan keharmonian dan mengimbangi hak serta tanggungjawab dalam perhubungan yang dibina.

WANITA: Apakah antara kriteria utama yang menunjukkan seseorang lelaki dan wanita itu sudah bersedia sepenuhnya untuk berkahwin?

Kita boleh lihat sama ada pasangan lelaki dan wanita itu sudah bersedia untuk berkahwin apabila mereka sudah mempunyai perancangan rapi ke arah itu. Antara perancangan yang cukup penting adalah dari segi kewangan.

Selain itu, pasangan terbabit harus menerima hakikat bahawa akan ada orang lain dalam kehidupan mereka yang selama ini keseorangan dan bebas untuk melakukan apa sahaja. Penting untuk mengetahui dan memahami personaliti, gaya hidup, budaya dan lain-lain faktor yang dimiliki oleh pasangan agar anda mudah untuk mengadaptasikan diri dengan persekitaran yang dilalui oleh mereka.

WANITA: Persediaan daripada segi mental dan fizikal sama penting sebelum membuat keputusan mendirikan rumah tangga. Sungguhpun begitu, adakah terdapat faktor penting lain seperti kesihatan, pemakanan dan lain-lain lagi yang perlu dititikberatkan agar perkahwinan yang dibina berkekalan?

Jangan sesekali mengabaikan aspek kesejahteraan mental, fizikal, sosial, rohani serta jasmani sebelum membuat keputusan ingin berkahwin. Saya berpendapat kesihatan juga penting dan mempengaruhi dalam mendapatkan zuriat yang sihat. Selalu amalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang dan melakukan aktiviti fizikal dan bersenam.

Bebaskan diri daripada terjebak dengan gejala sosial seperti mengambil dadah, menghisap rokok, meminum arak ataupun berkunjung ke pusat hiburan. Bakal suami anda sudah tentu tidak mahukan isterinya liar dan tidak bijak menjaga maruah diri. Semua faktor ini saling berkait rapat antara satu sama lain.

WANITA: Untuk mendapatkan zuriat yang sihat, sebaiknya elakkan berkahwin dengan kaum keluarga. Sejauh manakah kebenaran fakta ini?

Seboleh-bolehnya elakkan daripada berkahwin dengan kaum kerabat terdekat untuk menghindar penyakit yang boleh diwarisi. Pilih pasangan keturunan berbeza dan penting untuk memilih calon suami atau isteri yang datang daripada keluarga baik-baik, berakhlak mulia bagi mengembangkan lagi umat manusia.

Akan tetapi, tidak mengapa jika sudah menjadi jodoh anda daripada keluarga sendiri. Pelihara hubungan kekeluargaan supaya kehidupan sentiasa dilindungi Allah s.w.t.

WANITA: Perceraian banyak berlaku dan pada masa itulah kesilapan pasangan masing-masing didedahkan. Apakah pengaruh perceraian terhadap emosi mereka dan bagaimana untuk mengelak perkara sedemikan terjadi?

Kadangkala krisis dalam rumah tangga berlaku kerana fikiran dikawal oleh emosi dan bukannya secara rasional. Pergolakan boleh terjadi sekiranya kehendak masing-masing tidak dipenuhi sehingga menyebabkan konflik di antara kedua-duanya. Misalnya si isteri tidak mahu menurut perintah suami selain daripada sering meninggikan nada suara dan
enggan melakukan tugas rutin harian di rumah sehingga menimbulkan kemarahan kepada si suami. Jika tiada perubahan setelah dinasihatkan, maka anda boleh melantik orang ketiga yang tiada kepentingan dalam kehidupan mereka.

Berdasarkan firman Allah dalam surah An-Nisa’: 35, maksudnya,
Dan jika bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah orang tengah untuk mendamaikan mereka iaitu seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan, jika orang tengah itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan nescaya Allah akan menjadikan kedua-dua suami isteri itu berpakat iaitu sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui lagi di dalam pengetahuannya.”