Hakim mengarahkan hukuman penjara ke atas Rizieq, 55, dikira dari tarikh beliau ditahan sejak 13 Disember lalu.


ULAMA berpengaruh Indonesia, Rizieq Shihab hari ini dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh sebuah mahkamah Jakarta kerana menyembunyikan maklumat tentang ujian coronavirus (Covid-19) dirinya.

Channel News Asia melaporkan, tiga panel hakim di Mahkamah Daerah Jakarta Timur memutuskan Rizieq berbohong tentang ujian Covid-19 dirinya sekali gus menyukarkan usaha mengesan kontak rapat pendakwah itu.

Rizieq, 55, ditahan sejak 13 Disember lalu dan hakim mengarahkan hukuman penjara itu dikira dari tarikh beliau ditahan.

Dalam pada itu, penyokong tegar  Rizieq  bertempur dengan polis di ibu kota Jakarta sebelum dia dijatuhkan hukuman penjara empat tahun oleh mahkamah.

Polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air ke atas para penyokong Rizieq yang menghampiri bangunan mahkamah.


 Mereka melontar batu dan botol-botol plastik ke arah polis.

Keganasan ini berlaku sejurus sebelum mahkamah memberikan keputusannya dalam kes baru Shihab itu.

Ratusan penyokong yang enggan bersurai kemudiannya ditahan pihak berkuasa.

Bulan lalu Rizieq dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana melanggar sekatan Covid-19 dalam beberapa acaranya yang dihadiri ramai orang.

Dalam kes barunya, pemimpin Fron Pembela Islam (FPI) ini didapati bersalah kerana menyebarkan maklumat palsu tentang keadaan kesihatannya.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik secara dalam talian, Rizieq berkata dirinya sihat walaupun hasil ujian menunjukkan beliau positif Covid-19.