Baru-baru ini saya terlihat di media sosial, ada lawak tentang perbuatan nakal mereka yang melekatkan gambar hantu pada kamera yang dipasang di bahagian belakang kereta, yang digunakan bila kita hendak undurkan kereta.

Lawak itu membuat saya teringat tentang satu kisah yang saya alami dulu. Dah lama juga berlaku, lebih 10 tahun dulu. Ketika itu saya menetap di Meru, Klang.

Suatu malam, saya pulang kerja lewat dari pejabat kerana banyak tugasan projek syarikat yang harus diselesaikan segera. Hampir pukul 1.00 pagi baru saya bergerak untuk pulang ke rumah.

Jalan memang lengang. Waktu begitu orang sudah lena dibuai mimpi, saya pula baru pulang kerja. Sampai di sebuah persimpangan lampu isyarat, saya berhenti kerana lampu merah.

Jalan raya lengang ketika itu, tiada kereta lain. Masa berhenti tu, saya sedang ralit ubah siaran di radio kereta. Tiba-tiba saya perasan ada seorang perempuan melintas jalan di hadapan kereta saya.

Perempuan itu pakaiannya serba putih, rambut panjang separas pinggang. Wajahnya saya tak perasan, tak berapa nampak kerana ditutupi rambutnya, tambahan pula saya sedar kehadirannya pun selepas dia melintasi kereta saya. Sekelip mata perempuan itu hilang di sebalik deretan bangunan di seberang jalan.

Masa tu saya rasa pelik. Dari mana perempuan tu datang? Kawasan situ bukan ada penempatan, bukan juga kawasan awam yang ada hentian bas atau teksi. Apa dia buat di pagi buta begitu berjalan seorang diri?

Entah kenapa tiba-tiba saya rasa seram sejuk sampai bulu roma tegak berdiri. Tak tunggu lama, terus saya tekan minyak sebaik lampu bertukar hijau. Saya fikir nak cepat sampai rumah saja. Tak tahu kenapa tapi saya mula tak sedap hati lepas nampak perempuan tadi.

Dalam 15 minit, saya sampai ke rumah. Rumah saya merupakan sebuah kawasan rumah lot kampung dengan halaman yang luas. Masuk je dalam kawasan rumah, saya terus parkir kereta di bawah pohon mangga di tepi rumah. Memang di situ tempat parkir kereta saya.

Nak betulkan kedudukan parkir kereta, macam biasa saya masuk gear ‘R’ untuk undurkan kereta. Saya tak perlu toleh ke belakang sebab kereta memang siap ada reverse camera. Hanya perlu melihat paparan skrin monitor pada dashboard saja.

Masa itulah, ketika saya perhatikan skrin tersebut semasa sedang undurkan kereta, rasa nak gugur jantung saya. Eh, siapa pula yang bertinggung di belakang kereta tu?

Saya terkejut. Saya tatap skrin betul-betul. Jelas nampak seorang perempuan pakaian serba putih, rambut panjang sedang duduk bertinggung sambil menundukkan kepala di belakang kereta saya. Cara dia duduk bertinggung tu memang menyeramkan.

Itu manusia atau hantu? Kalau manusia di belakang kereta, mengapa penggera kereta saya tidak berbunyi?

Saya dah masuk gear ‘R’, tapi kaki masih lagi menekan brek. Saya mati akal, tak tahu nak buat apa. Panik pun iya, rasa takut juga datang.

Perlukah saya undur saja dan langgar kelibat perempuan tu? Kalau itu bukan manusia dan saya langgar, bagaimana kalau ia mengganggu keluarga saya pula nanti?

Kelibat perempuan tu masih di situ. Saya cuma mampu tengok dari skrin reverse kamera saja. Saya takut dan tak berani keluar dari kereta untuk lihat apa sebenarnya yang ada di belakang kereta saya waktu itu.

Puas saya baca macam-macam ayat, tapi kelibat perempuan itu masih juga di situ. Hati saya kuat mengatakan itu bukan manusia. Lagipun masa mula-mula saya masuk ke kawasan rumah tadi, tidak ada sesiapa pun. Jadi, dari mana perempuan itu datang?

Yang membuat saya bertambah panik, saya alih gear dari ‘R’ ke ‘P’. Saya tak jadi undur kereta, jadi saya mahu parkir saja dalam kedudukan begitu. Yang membuat saya semakin takut apabila skrin monitor dalam kereta saya tidak berubah ke asal. Paparan skrin masih menyala dalam keadaan ‘reverse camera’, dan lembaga berambut panjang itu masih ada lagi bertinggung di belakang kereta walaupun saya dah letak gear pada ‘P’.

Panik punya pasal, saya bunyikan hon bertalu-talu. Masa tu saya tak fikir apa dah, lantaklah kalau jiran tetangga terjaga dari tidur sekalipun. Saya tak peduli. Lebih kurang seminit saya bunyikan hon tak henti, lampu di depan laman rumah saya menyala.

Bila nampak isteri saya buka pintu rumah, saya terus bukak pintu kereta dan berlari masuk ke dalam rumah. Cepat saya tutup dan kunci pintu rumah sampai isteri naik hairan tengok keadaan saya dengan wajah pucat.

Punyalah saya takut sampai enjin kereta pun saya biarkan hidup. Isteri naik hairan ingatkan saya dikejar perompak. Saya kata tak, tapi saya tak mampu jelaskan apa yang baru jadi. Dia suruh keluar matikan enjin kereta pun saya kata, biarkan saja. Dah terang nanti baru keluar rumah matikan enjin.

Sampai ke pagi saya tak dapat lelapkan mata. Bila hari dah mula terang, baru isteri keluar untuk matikan enjin kereta. Disebabkan tu juga, saya demam dua hari.

Saya ada panggil Pak Ali, jiran yang pandai mengubat tradisional untuk pulihkan semangat saya. Kata Pak Ali, ada benda mengikut saya balik malam tu. Mungkin ada kaitan dengan seorang wanita yang maut dalam kemalangan tidak lama dulu. Mungkin itu jelmaan yang saya nampak semasa berhenti di persimpangan lampu merah.

Dikatakan wanita itu meninggal dunia kerana dilanggar lori ketika sedang melintas jalan. Kononnya ramai juga pemandu yang pernah terserempak dengan lembaga wanita itu pada lewat malam, namun semuanya berakhir di situ saja. Tak ada pula sampai mengikut pulang ke rumah seperti yang terjadi pada saya.

Betul atau tidak, saya tak tahu. Tapi peristiwa tu menyebabkan saya trauma untuk lihat skrin bila undur kereta. Masa tu saya siap tanggalkan monitor skrin dalam kereta. Saya rela pandang cermin belakang atau keluarkan kepala di tingkap kereta sewaktu undurkan kereta.

Hanya selepas beberapa tahun kemudian, baru saya berani semula guna skrin reverse kamera ni. Itupun sebab saya tukar kereta baru dan memang sudah dilengkapi dengan sistem kamera tersebut.

**Kisah di atas dikongsikan oleh Mohd Fikri dari Klang, Selangor.

______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam