NABI Yunus a.s diutus oleh Allah SWT untuk berdakwah kepada sebuah kumpulan masyarakat yang tinggal di kota Ninawa.

Nabi Yunus popular dengan kisah ikan yang menelannya. Namun, di sebalik itu sebenarnya terselit pengajaran yang jarang diketengahkan.

Tahukah anda, umat Nabi Yunus adalah satu-satunya umat yang selamat daripada azab Allah. Perkara ini turut disebut dalam surah Yunus ayat 98 yang berbunyi, “(Dengan kisah Firaun itu), maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).”

Di manakah kota Ninawa yang diduduki umat Nabi Yunus dan terselamat daripada bencana Allah itu?

Mengikut kajian, Ninawa (juga disebut Nineveh) merupakan sebuah kota yang maju di bawah pimpinan bangsa Assyria. Kota Ninawa yang terletak berdekatan Sungai Tigris dijadikan pusat pemerintahan. Keluasan dan kepadatan kota Ninawa ini boleh diibaratkan seperti kota Paris pada zaman sekarang.

Semasa Nabi Yunus sampai ke sini, kota ini berkembang pesat sebagai pusat perdagangan dan turut dikelilingi dengan benteng pertahanan. Penduduknya bangsa Assyria menyembah Dewi Ishtar, yang juga dikenali sebagai dewi cinta dan perang.

Kota Ninawa atau Nineveh.

Datang ke sebuah kota yang maju dan mempunyai kepercayaan sendiri untuk berdakwah, ia bukan perkara mudah untuk Nabi Yunus menyebarkan Islam di kota ini.

Mengikut sesetengah riwayat, selama 33 tahun Nabi Yunus berdakwah di situ, hanya dua orang sahaja yang jadi pengikutnya. Selebihnya, seruan Nabi Yunus ditolak mentah-mentah kerana mereka berpegang teguh dengan agama mereka yang menyembah Dewi Ishtar.

Kecewa usahanya tidak berhasil, Nabi Yunus keluar dari kota itu dan mendoakan agar kaumnya itu ditimpa bencana dan azab, seperti yang diturunkan kepada umat Sodom dan Tsamud.

Nabi Yunus yang kecewa membawa diri, berjalan beberapa hari sehingga tiba di sebuah pelabuhan yang disebut Jaffa (Joppa), yang pada hari ini berada dalam kawasan Israel.

Pelabuhan Jaffa pada hari ini di Tel Aviv.

Dari pelabuhan itu, Nabi Yunus menumpang sebuah kapal menuju ke kota Tarshish. Dalam pelayaran, maka Allah S.W.T turunkan ribut taufan (lokasinya di Laut Mediterranean). Dan seperti yang dicatatkan, Nabi Yunus akhirnya terjun ke dalam laut lalu ditelan oleh ikan.

Mengikut kajian, ikan yang menelan Yunus adalah jenis paus sperma (sperm whale). Ini kerana paus itu antara mamalia terbesar di lautan yang mampu menelan manusia, dan spesies ikan ini memang hidup di perairan Mediterranean.

Tafsir ulama Islam berpendapat, Nabi Yunus berada di dalam perut ikan selama 40 hari, berzikir dan sentiasa berdoa memohon keampunan Allah.

Setelah itu, Yunus dimuntahkan ikan itu ke daratan seperti yang disebut dalam surah As-Shaffat ayat 145-146 yang berbunyi “Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar.”

Dalam al-Quran tidak disebutkan nama pantai tersebut. Namun dalam kitab Perjanjian Lama (kitab suci Yahudi dan Kristian), disebut bahawa Yunus dimuntahkan ke daratan yang dikenali sebagai pantai Ashdod (kini di Israel).

Sebuah bukit berdekatan pantai ini turut dinamakan ‘Nebbi Yunus’ atau dalam bahasa Hebrew di sebut ‘Girat-Yonah’ iaitu sempena memperingati kejadian Nabi Yunus yang dikeluarkan dari perut ikan di situ.

Girat Yonah, atau bukit Yonah (kiri) dan replika ikan (kanan) bagi memperingati kejadian Nabi Yunus yang dikeluarkan dari perut ikan yang dibina oleh Yahudi berdekatan pantai Ashdod.

Di dalam ayat Quran turut menyebut Allah tumbuhkan sebatang pohon berdaun lebar yang juga dikenali sebagai ‘Yaqtin’. Mengikut kajian buah-buah yang disebut dalam al Quran, Yaqtin merupakan sejenis labu.

Disebutkan Yunus berehat di bawah rimbunan pohon labu itu dan memakan buahnya untuk mengumpul semula tenaga. Setelah itu, beliau berjalan kaki pulang semula ke kota Ninawa, kembali kepada kaumnya yang sudah bertaubat dan amat menantikan kepulangannya.

SEWAKTU Nabi Yunus meninggalkan kota ini, penduduk Ninawa telah sedar dan menyesal. Lalu mereka bertaubat memohon keampunan Allah. Doa mereka yang bersungguh-sungguh akhirnya diterima, lalu menghindari kaum ini daripada azab Allah.

Mereka mencari-cari Nabi Yunus dan terus menunggu hari demi hari dengan harapan Nabi Yunus akan kembali.

Kedatangan Nabi Yunus semula ke kota itu disambut gembira oleh penduduk dan akhirnya, seluruh rakyat termasuk rajanya di situ menerima Islam, agama yang dibawa Nabi Yunus. Dan seperti yang disebut dalam Quran, kota itu selamat daripada azab Allah dan mereka menjadi satu-satunya bangsa yang beruntung kerana tidak dilenyapkan dari muka bumi ini.

Diceritakan juga bangsa Assyria itu bukan saja selamat daripada azab Allah, bahkan empayar mereka juga berkembang maju. Kepatuhan kaum Nabi Yunus yang akhirnya akur dengan Islam membuatkan mereka tidak menerima nasib seperti kota Sodom dan kota Madain.

Bangsa Assyria selamat daripada menerima nasib seperti kaum Sodom yang dilenyapkan Allah.

Hanya setelah sekian lama kemudian, empayar ini mula berpecah belah akibat peperangan dan jatuh ke tangan bangsa Parsi pada tahun 613 Sebelum Masihi. Setelah kejatuhan kota ini, bangsa Assyria keluar berpecah mencari penempatan baru ke wilayah Eropah Timur, Asia Barat dan Amerika Utara.

Kota Ninawa atau Nineveh pada hari ini terletak di pinggir bandar Mosul di Iraq. Puing-puing dan runtuhan kota ini masih boleh dilihat pada hari ini, tetapi banyak antaranya telah musnah kerana peperangan.

Kedudukan kota Ninawa (Nineveh) dalam peta hari ini. Tinggalan kota lama ini banyak yang telah musnah akibat peperangan.

_____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam