Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan ketika mengetuai Operasi Pematuhan Akta 342 dan Akta 514 di Kilang Gardenia Bakeries, Puchong, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

DALAM tempoh 1 hingga 24 Jun, sebanyak RM1.2 juta kompaun dikeluarkan ke atas kepada pengusaha kilang dan majikan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Antara kesalahan, tidak mematuhi arahan bekerja dari rumah (BDR) dengan mengarahkan pekerja datang ke tempat kerja menjangkau 60 hingga 80 peratus.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, keseluruhannya dalam tempoh itu, 1,175 pemeriksaan dijalankan bagi memastikan para pengilang serta majikan mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kesalahan serius lain ialah memalsukan makumat bagi memohon kebenaran beroperasi dengan menyatakan maklumat perkhidmatan penting sedangkan sebaliknya ia semata-mata untuk mendapat kelulusan beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 342 dan Akta 514 di Puchong, Selangor.

Tegas Saravanan, premis kilang yang didapati memalsukan dokumen mengenai kebenaran beroperasi akan diarah tutup serta-merta.

Baca artikel berkaitan: Lagi majikan degil, ingkar SOP bawa pekerja lebih kapasiti

Beliau seterusnya mengingatkan pengusaha industri terlibat agar mematuhi SOP yang dijalankan kerana JTK akan terus melakukan penguatkuasaan secara agresif agar jangkitan kluster COVID-19 di tempat kerja dapat dikawal.

Sementara itu, Saravanan berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan supaya bayaran levi untuk pekerja asing dipindahkan kembali kepada majikan untuk menanggung kos ujian saringan COVID-19 pekerja asing mereka.

“Ini supaya ia (bayaran levi) boleh digunakan untuk saringan lebih kerap. Saya telah cadangkan kepada menteri kewangan dan tunggulah keputusan menteri kewangan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram