Dr Noor Hisham Abdullah. Gambar FB UKM.

KLUSTER Tapak Bina Pintasan Segambut di Kuala Lumpur melaporkan kes tertinggi dalam kalangan 14 kluster baharu yang dikesan hari ini.

Kluster berkenaan menyaksikan 152 kes positif daripada 176 yang disaring.

Keseluruhannya sebanyak sembilan lagi kluster tempat kerja dilaporkan manakala lima lagi terdiri daripada pusat tahanan (dua), komuniti (dua) dan kumpulan berisiko tinggi (satu).

Tiga daripada kluster tempat kerja yang dilaporkan hari ini dikesan di Selangor, diikuti dua di Johor dan masing satu di Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang.

Bagi kluster pusat tahanan pula, masing-masing satu di Selangor dan Sabah manakala komuniti dilaporkan di Sarawak dan Kelantan.

Satu-satunya kluster kumpulan berisiko tinggi hari ini dikesan di Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster aktif yang dilaporkan ketika ini berjumlah 868.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula sebanyak 1,887 kluster,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, kematian seorang lelaki berusia 26 tahun antara 81 kes korban akibat COVID-19 yang dilaporkan hari ini.

Menurut Noor Hisham, jenazah lelaki tersebut yang mempunyai latar belakang obesiti dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Kata beliau, daripada 81 kes kematian hari ini, 30 kes dilaporkan di Selangor, 14 kes di Kuala Lumpur, 12 kes di Johor, sembilan kes di Negeri Sembilan dan lima kes di Sarawak.

“Masing-masing tiga kes di Pahang dan Melaka, dua kes di Labuan, serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang, Kedah, dan Terengganu.

“Jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 4,884,” jelasnya.

Baca artikel berkaitan: 5,803 kes baharu, tak banyak berubah sejak tiga hari lalu

82 kematian, 21 kluster, 18 libat tempat kerja

Dalam pada itu, kata Noor Hisham, sebanyak 5,193 kes sembuh dilaporkan hari berbanding 5,803 kes baharu.

Katanya, ini menjadikan kes aktif kini berjumlah 60,646 kes.

“Daripada jumlah itu 866 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 435 memerlukan alat bantuan pernafasan,” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram