Sebahagian dari orang ramai beratur untuk mendapatkan suntikan Vaksin Covid-19 pada Program Vaksinasi Covid19 @ Wilayah Prihatin di Perumahan Awam Sri Johor, Cheras GAMBAR: Abd Razak Aid

Oleh DATUK SAIFUL BAHAR ARSHAD

Itali antara negara di Eropah yang teruk dilanda pandemik Covid-19 tahun lalu, tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka mulai 28 Jun 2021. Itali sebelum ini mencatat 4.25 juta kes positif, dengan 127,291 kematian, semenjak wabak itu dikesan.

Realitinya, Itali yang mengalami krisis pandemik Covid-19 yang lebih teruk daripada Malaysia pun boleh berjaya menghadapi pandemik ini. Kunci kejayaan Itali berkemungkinan besar, adalah kerana rakyat mereka mematuhi SOP dengan ketat dan 16 juta ataupun 30 peratus telah pun disuntik vaksin.

Di Malaysia, lebih 6.8 juta penduduk telah disuntik vaksin. Pelan Pemulihan Nasional kini berada di hadapan mata kita. Kita perlu teruskan pemberian vaksin kepada sebanyak mungkin penduduk negara ini.

Dengan kadar pemberian vaksin mencapai 250,000 sehari bermakna setiap empat hari, satu juta penduduk boleh divaksin.

Ini juga bermakna, 250,000 darab 30 hari bersamaan 7.5 juta dos dalam sebulan. Dua bulan menjadi 15 juta dos. Satu angka yang amat baik sekiranya dapat dicapai dengan segera. Bermakna 7.5 juta rakyat akan mendapat dua dos vaksin perlindungan dengan segera.

Kata-kata Tan Sri Annuar Musa adalah yang terbaik dan tepat. Apa hal pun, Menteri Wilayah Persekutuan itu kata, kita vaksinkan 80 peratus penduduk Kuala Lumpur dahulu, paling cepat pada awal bulan Ogos 2021, kita capai angka ini.

Sekiranya usaha ini berjaya, Kuala Lumpur akan merupakan bandar utama negara pertama yang akan memperolehi imuniti kelompok dahulu. Sektor perniagaan boleh dibuka dengan lebih cepat. Ekonomi Kuala Lumpur boleh diperbaiki dengan segera. Kuala Lumpur boleh dijadikan ‘lauching pad’ untuk memulihkan ekonomi domestik.

Khairy Jamaluddin pula kata, gejala Covid-19 ini tidak lagi menjadi pandemik (global) tapi akan menjadi endemik (lokal), Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood bersetuju dengan kenyataan
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ini.

Endemik membawa maksud gejala Covid-19 akan menjadi seperti selesema biasa seperti flu atau demam denggi.

Pada sama masa, dalam masa terdekat, Covid-19 berkemungkinan besar tidak lagi akan mengakibatkan maut kepada pesakit yang terkena virus ini. Covid-19 akan hanya menjadi satu penyakit yang ringgan sahaja seperti demam denggi atau selesema.

Jumlah kes baharu Covid-19 di seluruh dunia; Data perbandingan.
(24 Jun 2021)

Amerika Syarikat (harian 14,707, jumlah 33.6 juta), India (harian 51,667, jumlah 30.1 juta), Brazil (harian 73,602, jumlah 18.2 juta), Perancis (harian 2,007, jumlah 5.76 juta), Turki (harian 5,703, jumlah 5.39 juta), Rusia (harian 19,871, jumlah 5.33 juta), United Kingdom (harian 16,702, jumlah 4.68 juta).

Argentina (harian 24,463, jumlah 4.35 juta), Sweden (harian 378,jumlah 1.09 juta), Portugal (harian 1,556, jumlah 870,000), Pakistan (harian 1,042, jumlah 953,000), Itali (harian 266, jumlah 4.26 juta), Ukraine (harian 1,248,jumlah2.29 juta), Filipina (harian 6,028,jumlah 1.38 juta).

Indonesia (harian 20,574, jumlah 2.05 juta), Jepun (harian 1,665,jumlah 791,000), Emiriah Arab Bersatu (harian 2,161, jumlah 620,000), Malaysia (harian 5,812 (25 6.2021), jumlah 722,659), Selangor (harian 2,187,jumlah 213,000), Kuala Lumpur (harian 771, Jumlah 66,708) dan Sabah (harian 156, jumlah 66,708)

Jumlah kes harian berbeza-beza di seluruh dunia. Ada yang kini mempunyai hanya 266 kes harian sahaja seperti di Itali. Tetapi jumlah kes di Itali ialah 4.26 juta, jauh lebih tinggi daripada kes keseluruhan di Malaysia berjumlah 722,000.

Di Indonesia kes harian sekarang berjumlah 20,574 manakala di Filipina ialah 6,028 kes harian

Saya berpendapat, kerajaan Malaysia tidak gagal. Kerajaan sedang berusaha lakukan yang terbaik mengimbangi antara menyelamatkan nyawa dengan memastikan angka kes Covid-19 baharu berada di paras yang rendah, dengan memastikan ekonomi kelangsungan hidup rakyat juga terjamin.

Yang jelas diperlihatkan, terdapat segelintir ahli politik yang menggunakan isu pandemik Covid-19 sebagai satu alasan kononnya kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal. Ini bertujuan untuk mendapatkan political mileage di mata rakyat.

Ahli politik ini memberikan gambaran bahawa sekiranya mereka diberi peluang memerintah, mereka boleh lakukan dengan lebih baik daripada kerajaan sedia ada. Berkemungkinan seminggu dua, Covid-19 boleh dihapuskan terus.

Meminjam kata-kata Annuar; kerajaan tidak gagal, kerajaan ini belum berjaya.

*Penulis adalah Penganalisis Politik