cerai angkara sihir

Mustafa dan Habeeba, pasangan suami isteri yang bahagia. Mereka berdua bekerja sebagai pengendali kantin. Pada suatu hari, Mustafa telah berjaya memperoleh tender mengendalikan kantin sebuah kilang di sebuah daerah di Negeri Sembilan.

Semenjak hari itu, berlaku satu perubahan aneh pada dirinya. Fikirannya menjadi tidak tenteram, mudah berasa benci dan marah kepada isterinya tanpa sebab. Dia juga memukul isterinya sedangkan dia sendiri tidak menyedari apa yang dilakukannya. Dalam keadaan tidak keruan, dia membuat permohonan menceraikan isterinya di mahkamah.

Satu hari, ketika berada di kantin, Mustafa menemui satu bungkusan kain putih. Dia berasa ada sesuatu yang tidak kena, lalu menemui seorang pengamal perubatan tradisional untuk mendapatkan rawatan.

Menurut perawat tersebut, dia telah disihir kerana berjaya mendapatkan tender kantin tersebut. Penyihirnya itu berasa dengki lalu menyihirnya agar rumah tangganya bercerai berai. Setelah mendapatkan rawatan dan keluar dari kantin tersebut, Mustafa telah pulih dan dapat berfikir secara waras.

Mustafa membuat rayuan agar mahkamah membatalkan perceraian talak tiga yang telah direkodkan sebelumnya atas alasan dia di bawah pengaruh sihir.

Kisah di atas adalah olahan ringkas dari kes Mustafa Batcha lwn Habeeba Abdul Rahman. Para pembaca boleh mengakses kes ini dalam Jurnal Hukum tahun 1410H halaman 41. Kes ini mungkin salah satu dari beribu-ribu kisah benar tentang rumah tangga yang porak-peranda angkara sihir.

Allah S.W.T. sendiri telah menyatakan kemungkinan terjadinya hal ini melalui firman-Nya dalam surah Al-Baqarah: 102,

(Dalam pada itu) ada juga orang-orang mempelajari daripada mereka berdua (Harut & Marut) ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seseorang dengan pasangannya…”

Penggunaan sihir dalam perceraian

Perceraian dengan menggunakan ilmu sihir biasanya berlaku dalam keadaan yang pelik dan luar dari kebiasaan. Melalui pengalaman yang penulis pernah hadapi, ada suami yang mengadu lidahnya seakan-akan dikuasai sesuatu sehingga melafazkan talak terhadap isterinya.

Ada pula yang mendakwa tidak sedar dan tidak ingat bila dan di mana dia melafazkan cerai. Terdapat juga suami atau isteri mendakwa berlaku perubahan mendadak pada perasaan hingga timbul rasa benci dan meluat yang amat sangat hingga memukul pasangannya tanpa kerelaan hati.

Penulis juga pernah diberitakan beberapa kes isteri yang beria-ia mendesak suaminya agar menceraikannya tanpa sebarang sebab. Tidak kurang juga ada isteri memohon cerai fasakh atas alasan suami mengalami lemah syahwat ketika hendak menyetubuhinya sedangkan dengan isterinya yang lain tidak begitu.

Berhati-hatilah, angkara sihir, hubungan suami isteri boleh terputus.

Melalui temu bual antara penulis dan beberapa orang hakim Mahkamah Syariah di Kuantan dan Kuala Terengganu, mereka percaya, penggunaan sihir dalam kes-kes perceraian memang wujud.

Malah hakim-hakim tersebut pernah berdepan dengan kes sedemikian. Oleh kerana ketiadaan satu garis panduan dan peruntukan dalam enakmen berkaitan isu ini, maka para hakim mengambil jalan lebih selamat iaitu dengan mengadili kes berkenaan atas alasan yang zahir pada pandangan mata kasar dan dapat diterima logik akal selain melihat faktor-faktor sampingan seperti latar belakang dan sikap pengadu.

Hukum talaq oleh orang tidak waras akal

Rasulullah s.a.w. mengingatkan umatnya agar berhati-hati dalam soal cerai dan talak melalui sabdanya yang bermaksud,

Tiga perkara jika dibuat sungguh-sungguh jadi sungguh-sungguh, dan jika dibuat main-main jadi sungguh-sungguh, iaitu nikah, talak dan rujuk.”

Walau bagaimanapun, perkara ini hanya terpakai ke atas mereka yang menjatuhkan talak dalam keadaan akal waras dan tanpa sebarang paksaan. Sekiranya talak dilafazkan oleh seorang yang tidak waras atau dipengaruhi sesuatu sehingga hilang kawalannya, maka para ulama sepakat bahawa talak tersebut tidak sah berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud,

Tidak gugur talak dan tidak sah memerdekakan hamba ketika dalam keadaan ighlaq (iaitu keadaan dikawal sesuatu).”

Syeikh Abdul Rahman Al-Jaziri menyatakan dalam kitabnya Al-Fiqh ’ala al-Mazahib al-Arbaah, halaman 142,

Maka disyaratkan pada orang yang mentalak itu beberapa perkara; antaranya ialah berakal sempurna. Maka tidak sah talak orang gila (majnun) walaupun gilanya itu terputus-putus yang datang sekejap kemudian hilang. Apabila dia menjatuhkan talak sewaktu dalam keadaan gilanya, maka talak tersebut tidak diambil kira.”

Pendapat yang sama turut diutarakan oleh Imam As-Shafie, Imam Al-Mawardi dan Dr. Wahbah al-Zuhaily.

Mangsa sihir akan mudah benci, marah, meluat dan sebagainya kepada pasangan.

Jika didasarkan dengan pengalaman penulis dan perawat-perawat yang terlibat dalam merawat mangsa sihir, keadaan tidak sempurna akal dan hilang kawalan sering dialami oleh mereka yang diganggu jin dan syaitan melalui sihir.

Mangsa akan mudah rasa tertekan, berserabut, benci, marah, meluat atau sedih yang bersangatan dan tidak dapat dikawal. Ada kalanya mangsa mendengar bisikan-bisikan agar menceraikan isteri atau diperlihatkan gambaran-gambaran pasangannya melakukan perbuatan curang sehingga menimbulkan kemarahan yang melampau.

Rasulullah s.a.w. pernah disihir

Dalam kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim, terdapat satu riwayat tentang kisah Rasulullah s.a.w. yang disihir oleh Labib bin Al-A’sam. Kesannya, Baginda merasakan seolah-olah sudah bermalam di rumah salah seorang isterinya sedangkan Baginda tidak melakukan demikian.

Ini menunjukkan kemampuan penyihir mempengaruhi pemikiran dan perasaan mangsa terutama dalam perkara berkaitan rumahtangga. Sebagai contoh, sihir pemisah atau sihir pembenci digunakan bagi memisahkan pasangan suami isteri.

Hasilnya, timbul rasa benci antara suami isteri, selalu berlaku perselisihan faham, timbul prasangka dan was-was terhadap pasangan, rasa marah yang tidak tahu puncanya, gelisah bila bersama, rasa ingin bercerai dan ada yang melihat rupa pasangan menjadi sangat buruk dan hodoh.

Ada juga penyihir yang menggunakan bahan-bahan dari haiwan yang suka bercakar seperti tulang kucing dan anjing yang dipuja, lalu di tanam di bawah rumah atau diletakkan atas bumbung rumah mangsa.

Natijahnya, kehidupan mangsa dan pasangannya yang aman bertukar menjadi huru hara dan selalu bertengkar ibarat kucing dan anjing.

Pendapat ulama tentang talaq di bawah pengaruh disihir

Dalam kitab Fatawa wa ishtisharat al-Islam al-Yaum, juz 11, hal. 358, ditegaskan:

Dan adapun orang yang disihir yang mana sihir tersebut menyebabkan hilang kewarasan dan kesedaran akalnya, sehingga menyebabkan dia mengucapkan apa yang dia tidak mahukan, maka sesungguhnya talaq yang diucapkan ketika itu tidak berlaku berdasarkan hadis Nabi s.a.w. “Tidak jatuh talaq yang dilafazkan dalam keadaan ighlaq”.

Fatwa ini selari dengan pendapat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitab Mukhtasar Al-Fatawa Al-Misriyyah,

Dan sesiapa yang disihir sehingga ke tahap dia tidak menyedari apa yang diucapkan maka talaq tersebut tidak berlaku. Manakala sekiranya sihir yang dikenakan itu tidak menyebabkan perubahan pada kewarasan akal dan kesedarannya, seperti sihir untuk menghalangnya dari melakukan persetubuhan sahaja, maka talaq itu sah.

Bekas Presiden Universiti Islam Madinah, Syeikh Abdul Muhsin Ibn Hamd Al-Abbad pernah ditanya berkenaan hukuman bagi seseorang yang melakukan kesalahan dalam keadaan dia dirasuk atau disihir. Beliau menjawab,

Ulama sepakat berpendapat tidak sah talak dengan sebab angkara sihir

Sekiranya dia melakukan kesalahan itu dalam keadaan akal yang tidak waras, maka dia tidak dikenakan hukuman. Manakala sekiranya dia melakukan kesalahan tersebut sedangkan akalnya waras, maka dia dikenakan hukuman walaupun dia mengalami kesakitan, kemurungan dan ketidakselesaan. Perkara yang hanya memberikan pelepasan baginya hanya akal yang tidak waras.”

Oleh yang demikian, bolehlah disimpulkan bahawa sekiranya mana-mana suami menjatuhkan talaq dalam keadaan hilang pertimbangan akal akibat disihir, maka hukum talaq tersebut tidak sah.

Seseorang yang melakukan perbuatan dalam keadaan tiada akal (ghair āqil) tidak akan menanggung sebarang akibat perbuatan beliau berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.ha.

Diangkat pena dari tiga golongan. Dari orang yang tidur sehinggalah dia terjaga, dari kanak-kanak sehinggalah dia baligh dan dari orang gila hinggalah dia berakal atau sembuh dari gila.”

Oleh:  Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Universiti Malaysia Pahang

___________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram