Pasukan penyelamat cuba membuka pintu kereta sedan yang dinaiki mangsa. Foto BANGKOK POST

SEORANG ahli perniagaan dari Malaysia berumur 43 tahun dijumpai mati dalam sebuah kereta yang diletakkan berhampiran sebuah kolam ikan di daerah Bang Phli, wilayah Samut Prakan petang semalam.

Bangkok Post melaporkan, sebuah bekas berisi arang yang masih terbakar turut ditemukan dalam kereta Toyota Camry warna putih dinaiki mangsa.

Timbalan Ketua Penyiasat Balai Polis Bang Phli Pol Kapten Pongnarin Nontanok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5 petang semalam.

Katanya, seorang lelaki itu dijumpai di tempat duduk pemandu dengan keadaan enjin masih hidup.

Menurutnya, pasukan penyelamat kemudiannya cuba membuka pintu kereta sedan itu dan menemukan Wong Chen Hoe serta bekas arang bersebelahan dengan mayatnya.

“Kami mendapati terdapat dua luka kelaran pada pergelangan tangan kanannya yang ditutup dengan pelitup muka.

“Namun tiada kesan lebam atau serangan fizikal pada badan lelaki itu,” katanya.

Pongnarin berkata, pemeriksaan doktor percaya Chen Hoe sudah mati antara 7 dan 8 jam sebelum mayatnya ditemukan.

Tambahnya, isteri mangsa membuat laporan di Balai Polis Bang Phli pada pagi semalam berhubung kehilangan suaminya.

Isterinya memaklumkan polis suaminya hilang sejak malam Khamis dengan memandu kenderaan syarikat dan sejak itu dia gagal menghubunginya.

Sementara itu, pemilik kolam ikan,Boonma Phunooch,62, berkata, dia sedar kereta putih itu diparkir sejak malam Khamis dengan enjin masih hidup.

Katanya, dia menyangka lelaki itu meletakkan kenderaannya di situ untuk berehat namun penduduk setempat pada keesokan harinya memaklumkan kereta itu masih di parkir di tempat sama dengan enjin yang masih hidup.

“Saya mengetuk pintu kereta beberapa kali untuk mengejutkannya namun tiada tindak balas. Saya kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada polis,” tambahnya.