Pertama kali saya melihat wanita itu adalah ketika dia berada di dalam keadaan koma, di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, setahun lalu. Usianya 50an, terlantar tidak sedarkan diri akibat penyakit ketumbuhan di dalam perut.

Menurut suami wanita ini, sudah beberapa minggu isterinya berkeadaan demikian selepas menjalani pembedahan. Dia berharap saya dapat membantu memulihkan isterinya itu melalui kaedah Islam.

“Insya-Allah, saya akan cuba, sama-samalah kita berdoa…” balas saya.

Lalu saya bacakan beberapa ayat suci pada sebekas air. Kira-kira 15 minit kemudian, saya kumandangkan pula azan ke telinganya. Saya berdoa agar kalimah suci itu dapat menyedarkannya. Alhamdulillah, tiba-tiba wanita itu membuka mata.

Tetapi, sebaik matanya terbuka, saya lihat dia seperti ketakutan. Mukanya cemas. Dia memandang sekeliling, seolah-olah sedang diburu sesuatu. Wanita itu juga tidak kenal siapa dirinya sendiri, juga ahli keluarga yang berada di sekelilingnya.

“Tak apalah… saya yakin, nanti keadaan isteri encik ni elok semula. Berdoalah banyak-banyak dan serahkannya kepada Allah. Yang penting, isteri encik dah sedar semula,” saya tenangkan suami wanita berkenaan.

Agak lama juga saya di situ dan terus berusaha menggunakan kaedah-kaedah rawatan yang dibenarkan oleh agama. Saya hanya meminta diri selepas wanita itu saya lihat sudah tenang kembali perasaannya.

“Terima kasih, ustaz,” ucap suami wanita berkenaan sambil menggenggam tangan saya.

“Terima kasihlah kepada Allah, saya cuma membantu saja,” jawab saya sebelum meninggalkan lelaki dan wanita berkenaan serta keluarga mereka.

Sejurus terjaga, wanita kaya itu kelihatan panik dan ketakutan. Dia memandang sekeliling.

SAYA HAMPIR TERLUPA dengan wanita itu, hinggalah beberapa bulan kemudian apabila dia datang ke pejabat saya di Gombak untuk mendapatkan kaunseling dan rawatan selanjutnya.

Tetapi yang menimbulkan tanda tanya di hati saya ialah, menurut wanita itu, jiwanya kini dalam ketakutan. Dia tidak boleh melihat rumahnya sendiri. Bukan itu saja, dia tidak boleh melihat bilik tidurnya, mendengar bunyi letupan, pistol dapur gas, melihat api dan terlalu takut untuk menaiki kereta.

“Apa sebabnya, puan?” saya bertanya kerana terkejut dengan kata-katanya tadi.

“Saya takut terbakar,” jawab wanita itu.

Aneh. Apa kaitan antara penyakit yang dihidapinya dahulu, pembedahan serta koma yang dialami, dengan ketakutannya terhadap kebakaran? Saya tidak nampak perkaitannya langsung. Apa yang tidak kena dengan jawapan wanita berkenaan?

Tiba-tiba wanita itu menangis pula. Melihat keadaannya itu, saya percaya, pasti ada rahsia yang dipendamkan dalam hati dan fikirannya menyebabkan dia datang menemui saya dan menangis.

“Ada sesuatu yang berlaku semasa saya koma dulu, ustaz,” kata wanita itu seperti tahu apa yang sedang bermain di dalam fikiran saya.

Menurut wanita itu, sebenarnya semasa koma selama beberapa minggu, dia telah melalui suatu kejadian yang amat menakutkan. Dia telah dibakar dalam api yang sangat besar.

Dalam koma itu dia melihat rumahnya telah dijilat api yang marak. Suami dan semua anak-anaknya berjaya melarikan diri, sedangkan dia terperangkap di dalam bilik tidur utama di tingkat atas rumah besarnya.

Wanita itu tidak dapat melarikan diri. Api membakar seluruh tubuhnya.

Wanita itu mencari-cari pintu keluar, tetapi gagal. Dia terperangkap di dalam biliknya yang kini dikelilingi lautan api yang sedang membakar katil, almari, meja solek serta perabot-perabot mahal.

Dia menjerit-jerit kesakitan memanggil suami, anak-anak dan jiran-jiran agar  datang menyelamatkannya. Namun mereka langsung tidak menghiraukannya.

“Akhirnya tubuh saya juga terbakar. Sakitnya tidak dapat hendak saya gambarkan, ustaz. Kaki, badan dan muka saya terbakar, saya menjerit-jerit, tiada sesiapa datang membantu.

“Apa yang peliknya, setiap kali daging, kulit dan rambut saya hangus, tumbuh daging, kulit dan rambut yang baru pula, lalu terbakar lagi,” kata wanita itu.

Saya bertanya pada wanita itu, berapa lama dia terbakar?

“Terlalu lama, ustaz. Saya rasa macam bertahun-tahun dan tidak ada kesudahannya,” jawab wanita berkenaan.

Sakitnya tidak terperi, terasa seperti bertahun-tahun lamanya.

Sambil mengesat air matanya yang tidak berhenti-henti mengalir, wanita itu memberitahu, “Ketika itu saya dapat rasakan, mata saya ini hangus. Dari celah-celah kelopak mata saya keluar api yang sangat panas. Akibat tidak tertahan sakitnya, saya jatuh ke lantai.  

“Saya berlari ke sana-sini sambil memijak bara. Saya menjerit-jerit memanggil suami, anak-anak dan jiran-jiran, tetapi mereka tidak menyahut panggilan saya itu.

“Saya dapat lihat sepasukan bomba datang. Air disembur ke segenap rumah kami dan ke bilik saya, tetapi peliknya, api itu tetap tidak dapat dipadamkan. Mereka juga tidak dapat melihat saya yang sedang menjerit-jerit di tepi tingkap.

“Saya berlari ke sana ke sini, meraung-raung kesakitan, pun begitu api itu tidak pernah padam. Sakitnya tidak dapat hendak saya bayangkan. Ia berlaku berulang-ulang dan terlalu lama, seperti bertahun-tahun hingga saya menjadi terlalu letih.

“Ketika dalam kesakitan itu, tiba-tiba saya terdengar azan. Sayup dan tenang. Serentak itu saya lihat api terus terpadam dan saya terjaga. Saya dapati diri saya terbaring di katil dan ada ramai orang di sekeliling saya,” ucap wanita tersebut sambil menangis tersedu-sedu.

“Saya percaya, apa yang berlaku adalah hukuman Allah di atas dosa-dosa besar yang telah saya lakukan,” sambung wanita tersebut sambil menundukkan mukanya.

Jelas wanita itu, dosanya yang paling besar ialah menggunakan ilmu penunduk terhadap suaminya sendiri supaya setia dan tidak mencari perempuan lain.

“Ilmu itu saya perolehi dari emak saya sendiri dan saya amalkan sejak kami berkahwin lagi. Ketika itu umur kami 20-an. Dengan ilmu itu, suami jadi tunduk pada saya dan ikut saja apa yang saya mahukan,” wanita itu menangis teresak-esak.

Saya bertanya, bagaimanakah bentuk ilmu hitam yang dilakukannya, sebab sepanjang pengalaman saya dalam bidang ini, memang terdapat banyak kaedah sihir dan ilmu hitam untuk menundukkan orang lain termasuk suami. Ada yang menggunakan nasi kangkang, darah kotor, batang keladi, lakaran tapak kaki dan sebagainya. Tetapi wanita ini pula, bagaimana?

Angkara sihirkan suami…

“Saya gunakan air mandian. Air mandian itu saya tadah, kemudian saya masukkan dalam minuman untuk diberikan kepada suami,” jawabnya lalu menyatakan rasa kesalnya yang tidak sudah-sudah.

Ilmu penunduk itu juga wanita tersebut gunakan untuk kerjayanya sebagai ahli perniagaan dan aktivis masyarakat.  Tujuannya adalah untuk menundukkan pelanggan dan memenangi hati sesiapa saja yang diingininya. Dengan cara itu, mudahlah dia mendapat kontrak serta meraih jawatan yang ditandinginya.

“Tapi ustaz, saya percaya juga apa yang berlaku itu adalah amaran Allah terhadap dosa-dosa saya yang lain. Saya mengaku ustaz, saya ini kaki minum dan kaki kelab malam.  Saya tak jaga ibadah. Aurat pun saya tak tutup,” jelas wanita berkenaan.

Wanita kaya itu mengaku dia gemar ke kelab malam, meminum arak dan tidak menutup aurat.

Saya bertanya, takkan suaminya diamkan saja?

“Suami saya tau apa yang saya lakukan, tapi dia tak berani tegur sebab saya telah tundukkannya dengan ilmu hitam yang saya ceritakan tadi. Ya-Allah, besar betul dosa saya ustaz,” wanita itu terus menangis-nangis di hadapan saya.

Dia memberitahu saya, apa yang dialami semasa koma dahulu adalah kejadian yang paling menakutkan dalam hidupnya.

Kamu bermimpi, tak? Saya cuba menguji wanita tersebut. Tapi dia menafikan.

“Tak, ustaz. Kalau mimpi, lain. Yang berlaku itu seperti di alam nyata. Saya dapat rasakan sakit dan panasnya api yang membakar tubuh saya itu,” sambung wanita berkenaan.

Sebelum pulang saya berikannya rawatan yang bersesuaian, kaunseling serta pesanan agar meninggalkan segala keburukan yang dilakukannya dahulu.

Kali terakhir saya berjumpa wanita itu adalah beberapa bulan kemudian, dalam sebuah kursus motivasi keagamaan yang sangat terkenal di negara ini. Kebetulan saya adalah salah seorang penasihat dalam kursus motivasi itu, jadi saya dapat lihat perubahan dalam dirinya. Cuma sayang, kami tidak dapat berbual panjang sebab masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.

Tetapi saya masih ingat, wanita itu memberitahu, kini dia sangat rindukan suara azan. Bahagian yang paling disukainya ialah `Hayya alas solah’ dan `Hayya alal falah.’ Kedua-dua ayat itu, kata wanita berkenaan, bermakna Allah mahukan kita bersembahyang kerana sembahyang akan membawa kita kepada kejayaan.

Alhamdulillah, wanita itu kini tidak lagi melakukan amalan-amalan syirik serta dosa-dosa besar yang lain.

Pencerita: Ustaz Hanafiah Malek

“Alhamdulillah, selepas kejadian itu wanita tersebut meninggalkan semua perbuatan buruknya dahulu.” – Ustaz Hanafiah Abdul Malek.

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam