DIAM tak diam sudah tujuh tahun aktor kelahiran Singapura, Hisyam Hamid berkelana mencari rezeki dalam bidang lakonan di negara ini.

Tidak keterlaluan andai mengatakan jika pelakon tinggi lampai itu sering menjadi buruan pengarah untuk sesebuah naskhah yang dihasilkan.

Malah, Hisyam juga sering diberi tanggungjawab untuk memegang watak hero dan berlakon disamping heroin pilihan sutradara sekaligus popularitinya tidak pernah padam sehingga kini.

Bercakap soal seringkali digandingkan dengan pelakon wanita, Hisyam yang sudah berkahwin mengakui isterinya, Rosmawati Hanafi bersikap profesional dan memahami jika ia hanya sekadar tuntutan kerja.

“Isteri seorang yang tak cepat cemburu sebab dia tahu kerjaya lakonan adalah punca rezeki saya untuk keluarga.

“Tapi bohonglah kalau saya cakap dia tak cemburu sebab dia pun seorang wanita. Namun dia sangat profesional dan faham apa yang saya buat.

“Isteri antara pengkritik utama saya…kalau dia tengok saya kelihatan kekok dengan pasangan pelakon, dia akan tegur dan suruh perbaiki kualiti lakonan,” katanya kepada URTV.

Hisyam berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Hatimu Sedingin Salju yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Meletakkan kepercayaan sebagai kunci utama dalam hubungan kekeluargaan, untuk itu setiap kali Hisyam mendapat tawaran lakonan, pasti dia akan merujuk kepada isterinya terlebih dahulu.

“Sebab itulah saya masih lagi bertahan dalam industri Malaysia…dah tujuh tahun saya membina nama sebagai pelakon di negara ini.

“Kalau bukan sebab isteri bersikap profesional, mungkin saya tidak dapat bertahan lama seperti sekarang.

“Saya juga akan ambil Initiatif untuk mengenali suami atau kekasih pasangan heroin sebelum memulakan penggambaran.

“Tujuan saya berbuat demikian kerana mahu mengelakkan sebarang perasaan cemburu di kedua belah pihak.

“Tiada niat lain pun, sekadar mahu menyenangkan kerja dan tak mahu berlaku salah faham di kemudian hari,” tuturnya.

Untuk info, Hisyam berkahwin dengan Rosmawati pada 2 September 2006 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Nurish Syamielah,14 dan Hayden yang berusia 12 tahun.