Kedai gunting rambut antara satu sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) kelak. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEKTOR perdagangan dan pengedaran termasuk kedai buku dan alat tulis serta kedai gunting rambut antara premis yang dibenarkan beroperasi dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) kelak.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Fasa Satu PPN yang sedang berjalan ketika ini masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Bagi Fasa Dua pula, kata beliau, senarai positif sektor yang dibenarkan beroperasi akan diperluas termasuk sektor pembuatan melibatkan automotif, seramik, kilang perabot bagi tujuan eksport, getah, simen dan besi serta keluli.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kedai komputer dan telekomunikasi, barangan elektrik dan kedai cuci kereta juga akan dibenarkan beroperasi.

Katanya, waktu operasi bagi senarai positif dalam Fasa Dua adalah dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam.

Jelas beliau, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali pergerakan guru sekolah serta pelajar kelas-kelas peperiksaan.

“Pergerakan rentas negeri bagi pasangan jarak jauh pula dibenarkan bagi kes kecemasan dan khas sahaja dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Baca artikel berkaitan: Fasa Pertama Kawalan Pergerakan kekal hingga indikator dicapai – Ismail Sabri

Premis makanan dibenar beroperasi 6 pagi sehingga 10 malam

“Operasi restoran, kedai makan, gerai makan, trak makanan, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk masih beroperasi dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam.

“Dalam Fasa Dua, pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi bermula pukul 7 pagi sehingga 11 pagi dan terhad kepada enam komoditi iaitu sayuran, buah, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.

“Walau bagaimanapun, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka. Semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu serta tidak bersentuhan fizikal dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi Fasa Tiga pula, Ismail Sabri berkata, semua aktiviti ekonomi adalah dibenarkan kecuali aktiviti berisiko tinggi seperti spa, pub dan kelab malam.

Menurut beliau, pergerakan rentas daerah dibenarkan sepanjang Fasa Tiga manakala rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Beliau memaklumkan, makan di restoran akan dibenarkan dalam Fasa Tiga tetapi terhad kepada dua individu satu meja dengan mematuhi penjarakan fizikal.

“Aktiviti-aktiviti sosial masih tidak dibenarkan semasa Fasa Tiga. Namun begitu, kelonggaran untuk menerima tetamu atau pelawat di kediaman dibenarkan terhad kepada 10 orang dalam satu-satu masa.

“Aktiviti pelancongan pula dibenarkan dengan syarat pelancongan dalam negeri sahaja. Pembukaan tarikan pelancong masih tertakluk kepada penilaian risiko semasa dan SOP ketat,” katanya.

Mengulas mengenai Fasa Empat, Ismail Sabri memberitahu ia dapat dilaksanakan apabila bilangan kes COVID-19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok.

“Fasa terakhir ini akan membolehkan kita semua kembali semula kepada norma kehidupan seharian yang mana hampir kesemua sektor dibenarkan sepenuhnya tertakluk kepada SOP sedia ada yang telah ditetapkan.

“Ini merupakan sebahagian senarai positif dan negatif bagi setiap fasa manakala SOP kekal seperti yang telah diumumkan dan maklumat lanjut secara terperinci boleh diakses di laman sesawang MKN,” jelas beliau lagi.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram