DR NOOR HISHAM ABDULLAH./ Gambar FB MKN

SEBANYAK sembilan lagi kluster melibatkan tempat kerja dilaporkan hari ini daripada keseluruhan 17 kluster baharu.

Ia membabitkan lima kluster tapak bina dan tiga industri telah dikesan daripada sembilan kluster berkenaan.

Lebih membimbangkan, kesemua kluster tapak bina dan industri itu telah mencetuskan 511 kes positif COVID-19 daripada 1,864 ujian saringan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lapan kluster tempat kerja telah dikesan di Lembah Klang iaitu masing-masing empat di Selangor dan empat di Kuala Lumpur.

Kata beliau, baki satu lagi kluster tempat kerja dilaporkan di Kulai, Johor.

Selain itu, beliau berkata, daripada keseluruhan kluster baharu, enam adalah kluster komuniti iaitu dua di Sabah dan Kelantan serta satu di Perak dan Selangor.

Baca artikel berkaitan: 60 kematian, 12 tiada sejarah penyakit, termuda 20 tahun

81 kematian, 152 positif dari kluster tapak bina Segambut

“Satu kluster pusat tahanan telah dikenal pasti di Sabah manakala satu lagi adalah kumpulan berisiko tinggi terletak di Sarawak.

“Kluster yang merekodkan kadar jangkitan tertinggi adalah kluster Industri Kampung Sungai Bakau di Gombak, Selangor melibatkan 134 kes positif daripada 190 ujian saringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengesanan kluster baharu hari ini itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster sejak COVID-19 melanda adalah sebanyak 2,772.

Pada masa sama, sebanyak 874 kluster masih aktif manakala 1,898 lagi telah diisytiharkan tamat.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut menasihati individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan.

Kata beliau, ia termasuk mengelakkan 3S iaitu kawasan sesak, sempat dan sembang pada jarak dekat serta mengamalkan 3W iaitu wash, wear dan warn.

“Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai normal baharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram