adakah otak lebih hebat

Otak manusia adalah 30 kali lebih canggih jika hendak dibandingkan dengan supercomputer yang tercanggih di dunia. Ini fakta dan telah dibuktikan oleh dua orang mahasiswa PhD yang melakukan kajian terhadap pengukuran kemampuan komputasi komputer dan membandingkannya dengan kemampuan otak manusia.

Dalam kajian itu mereka menguji seberapa cepat komputer dapat memindahkan informasi dari satu titik ke titik lain di dalam sebuah sistem. Sementara, untuk mengetahui keupayaan maksimum otak manusia mereka mengukur frekuensi neuron pada sel-sel otak sewaktu memindahkan cas elektrik.

Katja Grace dari University of California mengatakan kaedah ini dapat mengukur tahap kemampuan komputasi komputer dan kemampuan otak manusia. Bersama rakannya Paul Christiano dari Carnegie Mellon University mereka menggunakan supercomputer IBM Sequoia yang mempunyai prosesor yang tercanggih.

“Hasil kajian mendapati otak manusia mampu bekerja 30 kali lebih cepat dibandingkan dengan Sequoia”

Bahkan kajian yang dibiayai dananya oleh Boston’s Future of Life Institute itu juga bertujuan mengetahui berapa jumlah hardware yang diperlukan oleh komputer agar memiliki kemampuan setara otak manusia. 

Maka terjawablah sudah antara AI atau supercomputer dengan otak manusia siapa lebih hebat. Ia juga menjawab pertanyaan apakah AI atau robot mampu untuk menggantikan manusia pada suatu masa kelak.

Menjelaskan perkara ini Dr. Sufian Adenan, Pakar Neurologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, otak manusia adalah ciptaan terunggul Allah S.W.T. Ia dicipta seiring dengan akal manusia yang tidak terdapat pada mana-mana ciptaan-Nya yang lain.

“Otak manusia memiliki keajaiban dan keunikan tersendiri. Jadi, sehebat mana sekalipun ciptaan manusia, tetap tidak dapat menandingi kehebatan otak”

Katanya lagi, otak bukan sahaja dicipta hanya untuk manusia berfikir, tetapi terlalu banyak fungsinya. Otaklah yang mengawal segala pergerakan dan anggota badan manusia, otak juga yang mengawal emosi, perasaan dan apa saja baik jasmani dan rohani manusia.

Otak lebih hebat dari supercomputer

Dalam erti kata lain, boleh dirumuskan otak adalah satu sistem dari semua pekerjaan yang dikerjakan oleh manusia.

Jika mengambil istilah komputer perbuatan manusia itu terserver di dalam otaknya, sedangkan gerak tubuh manusia adalah client yang digerakkan melalui otaknya. Maka tidak hairanlah bila dikatakan otak manusia sangat mempengaruhi apa yang dilakukan oleh manusia.

Bagaimana Otak Berkembang

Otak manusia bukan terhasil dengan secara tidak sengaja. Ia terbentuk melalui beberapa proses dari awal kehidupan manusia bermula.

Perkembangan otak juga bukanlah sesuatu yang manusia boleh kawal. Ia adalah di luar kawalan manusia. Pakar-pakar sains evolusi sendiri pun buntu dan tidak dapat menerangkan bagaimana kehebatan dan keunikan otak dapat berevolusi dan terhasil secara sendiri.

Otak juga sukar dikaji kerana tidak tahu bila ia mula terbentuk dalam rahim ibu. Malah ibu yang mengandung sendiri pun tidak tahu waktu bila dia mula mengandung melainkan setelah tidak datang period. Oleh sebab itu sukar untuk mengkaji dan mengenalpasti keupayaan otak seseorang.  

Supercomputer ciptaan IBM yang tercanggih masih lagi tidak mampu mengatasi kemampuan otak manusia

Dari saat ibu mula mengandung sudah pun berlaku proses pembentukan sel mengikut peringkat-peringkatnya. Bermula dari 0 hingga 14 hari (2 minggu) ialah peringkat zigot, 2 minggu hingga 9 minggu pula di peringkat embrio dan 9 minggu sehingga lahir pula adalah peringkat fetus.

Pada peringkat awal kehamilan proses pembentukan sel otak dan jasad terhasil dalam peratusan 250,000 neuron per minit. Proses ini akan lengkap sepenuhnya apabila usia bayi mencecah 5 bulan di dalam kandungan.

Setelah bayi mencapai usia 20 minggu sehingga lahir proses pembentukan sel akan mulai perlahan. Ini adalah proses peringkat akhir untuk sel menjadi matang.

Namun, dalam kaedah perubatan ada dua perkara pada otak yang akan matang terlebih dahulu iaitu pendengaran dan kestabilan.

Ada sebabnya mengapa kedua-dua deria ini matang dulu berbanding yang lain, iaitu untuk kelangsungan hidup bayi yang baru lahir ke dunia.

Fungsinya, melalui pendengaran bayi dapat mengecam suara ibunya dan melalui kestabilan pula bayi dapat refleks dan menstabilkan diri dalam apa posisi sekalipun seperti menyusu atau ketika tidur tanpa perlu diajar.

Otak adalah salah satu organ ciptaan Allah yang paling hebat

Pada peringkat ini storage otak masih lagi kosong, belum lagi berlaku proses penghubungan wiring sel-sel otak untuk menyimpan memori dan data, yang berfungsi cumalah sel-sel asas yang membantu kelangsungan hidup bayi.

Semakin usia bayi bertambah, fiber yang seakan-akan wiring di dalam sel otak juga mulai bertambah. Sudah ada aktiviti dan penyimpanan data dan memori dalam otak bayi tersebut.

Sebab itu bayi sudah mula kurang menyusu, sudah ada space berbanding sebelumnya yang menyusu hampir setiap masa. Bayi sudah mula belajar bergolek dan merangkak, otaknya sudah mula berfikir dan mempelajari perkara baru.

Pembentukan Semulajadi Otak

Sewaktu lahir berat otak bayi sekitar 375 hingga 400 gram. Selepas umur sebulan berat otak bertambah menjadi 1 kilogram. Setelah dewasa berat otak lelaki sekitar antara 1,350 hingga 1,410 gram manakala berat otak perempuan sekitar 1,230 hingga 1275 gram. Berat ini adalah standard untuk semua orang.

Kajian yang dibuat secara literal mendapati ibu yang mengalami tekanan perasaan akan memberi kesan terhadap bayi di dalam kandungannya. Manakala ibu yang dekat dengan Allah, banyak melakukan amal ibadat dan berzikir serta mengaji al-Quran akan memberikan elemen yang menenangkan untuk perkembangan bayi.

Jadi ini menunjukkan pembentukan sel saraf otak bergantung kepada rangsangan dan sokongan yang diterima. Jika rangsangan dan sokongannya baik maka baiklah perkembangan selnya jika tidak sebaliknya yang berlaku.

Menjelaskan hal ini Dr. Sufian berkata, sel-sel saraf dalam otak akan mula berfungsi apabila telah dibalut oleh pembalut saraf yang disebut myelin. Jika dibaluti dengan myelin yang hebat maka otak akan menjadi cerdas, pantas dan hebat. 

Jadi bagi memastikan perkembangan sel saraf otak baik perlukan kepada sumber makanan yang baik dan berkhasiat, persekitaran dan udara yang segar, lingkungan keluarga yang sakinah dan berbagai-bagai faktor positif yang lain lagi.       

 Sebab itu orang yang tinggal dalam lingkungan dan persekitaran yang baik akan berpotensi untuk menjadi seorang yang baik dan cemerlang dalam hidupnya.

Ini kerana sel saraf otaknya dibaluti oleh myelin yang baik yang menjadi penghubung kepada sel-sel saraf di dalam otaknya. Maka orang itu berpotensi untuk mempunyai kecerdasan dan tahap IQ yang tinggi. Wallahu a’lam

_________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram