Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Fasa Satu Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang akan tamat esok akan diteruskan sehingga nilai ambang kes harian mencatatkan kurang daripada 4,000 kes.

“PKP tidak tamat esok, fasa pertama terus sehingga nilai ambang kurang 4,000 kes,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.com.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan mengumunkan bantuan lebih menyeluruh kepada semua kumpulan masyarakat esok atau Selasa ini.

BERITA BERKAITAN PKP 3.0 menyeluruh disambung dua minggu lagi?

“Sekarang mereka kata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dah nak tamat. Saya kata, mulai sekarang kita tak sebut PKP, tapi kita sebut kita berada dalam fasa, sekarang ini fasa pertama (PPN) sampai Julai mungkin pertengahan bulan dan sebagainya.

“Bukan kata 28 Jun tamat PKP, itu silap…kita masih di fasa pertama PPN dan akan lanjutkan sehingga cecah nilai ambang bawah 4,000 kes dengan kes di Unit Rawatan Rapi tidak lagi berada pada paras tenat dan vaksinasi ditingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya, hari ini.

Menurut Muhyiddin, fasa pertama Kawalan Pergerakan itu menguji ketahanan negara supaya dapat melalui proses bagi kesemua fasa yang ada dalam PPN dengan baik.

Pada 15 Jun lepas, Muhyiddin mengumumkan PPN yang merangkumi empat fasa yang akan beralih secara berperingkat.

Bagi membolehkan peralihan ke fasa kedua, purata kes harian COVID-19 perlu berada di bawah 4,000 kes; sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Untuk ke fasa ketiga, ia akan dibuat jika antara lain purata kes harian COVID-19 turun ke paras bawah 2,000 dan nilai ambang itu dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini, manakala peralihan ke fasa keempat dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir Oktober 2021.

Mengenai penularan jangkitan COVID-19 di Selangor, Muhyiddin berkata kerajaan memberi lebih perhatian kepada negeri itu disebabkan jumlah kes harian yang mencecah 2,000 kes.

Katanya mana-mana kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperkekatkan (PKPD) di negeri itu akan dilaksanakan dengan lebih ketat.

“Kenapa begitu? Kerana kes banyak di Selangor sama ada di tempat kerja, kediaman atau komuniti. Kalau nak turunkan kadar kes ini harus beri perhatian di kawasan sebegini (PKPD).

“Mungkin langkah susulan lain kita akan buat supaya keseluruhan kes di seluruh negara terus turun, tapi apapun yang penting adalah kerjasama semua, orang ramai perlu patuh kepada prosedur operasi standard, ” katanya.

Mengenai bantuan terbaharu, baru-baru ini, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kerajaan akan segera memberikan satu lagi pakej bantuan ekonomi dalam masa terdekat.

“Saya yakin Perdana Menteri akan segera membuat pengumuman, mengenai pakej bantuan ekonomi yang besar. (Tetapi) saya tidak mahu mendahului dengan membuat pengumuman lebih awal,” kata Khairy.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi bayangan mengenai kemungkinan kerajaan akan mengumumkan sesuatu yang positif berkaitan permohonan rakyat untuk moratorium pinjaman dan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) . – UtusanTV