Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. GAMBAR: Facebook MKN

KADAR kematian angkara COVID-19 terus trend penurunan hari ini.

Jika semalam, sebanyak 60 kematian akibat jangkitan COVID-19 telah dilaporkan, hari ini jumlah tersebut menurun kepada 57 korban.

Walau bagaimanapun, korban disebabkan jangkitan pandemik itu telah pun mencecah 5,001 kes sejak COVID-19 mula melanda negara awal tahun lalu.

Kes kematian yang dikesan hari ini melibatkan seramai 54 rakyat Malaysia manakala tiga lagi bukan warganegara.

Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kes kematian tertinggi dilaporkan di Selangor iaitu sebanyak 15 kes.

Kata beliau, ia diikuti 13 kes di Negeri Sembilan, enam di Johor dan lima kes di Melaka.

Beliau memaklumkan, sebanyak tiga kes telah dikesan di Kuala Lumpur, Labuan dan Perak.

Baca artikel berkaitan: 60 kematian, 12 tiada sejarah penyakit, termuda 20 tahun

Lima kluster tapak bina, tiga industri cetus 511 kes

“Selain itu, sebanyak dua kes masing-masing di Sarawak, Kedah, Pahang dan Kelantan serta satu lagi kes dilaporkan di Pulau Pinang.

“Kes kematian tertua hari ini melibatkan warga emas berusia 96 tahun yang meninggal dunia di Hospital Jelebu.

“Seorang wanita berusia 33 tahun yang menghadapi masalah obesiti pula merupakan kes paling muda yang dilaporkan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak sembilan kes kematian hari ini tidak mempunyai sejarah penyakit lain.

Namun begitu, jumlah kes yang mempunyai penyakit termasuk kencing manis dan darah tinggi dikesan tertinggi dalam keseluruhan kematian hari ini.

26 mangsa korban akibat COVID-19 hari ini dikesan sama ada mempunyai sejarah penyakit kencing manis atau darah tinggi atau kedua-duanya sekali.

Menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak empat kes kematian hari ini melibatkan jenazah dibawa ke hospital atau Brought in Dead (BID).

Kesemua kes BID itu melibatkan warga emas berusia 60-an iaitu masing-masing satu di Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Labuan.

Beliau berkata, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) kembali meningkat kepada 899 berbanding 886 yang dicatatkan semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 451 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, sebanyak 4,744 kes sembuh telah dilaporkan hari ini manakala kes aktif seluruh negara masih tinggi iaitu 61,812.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram