WALAUPUN penampilannya agak ‘urban’, namun penyanyi rap kelahiran Singapura, YHB Sleepsalot mendedahkan dirinya lebih selesa untuk membawakan lagu berbahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris.

Ujar YHB, sebelum ini dia pernah menulis lirik dalam bahasa Inggeris namun dia merasakan ada sesuatu yang kurang sesuai dengan dirinya dan akhirnya mengakui bahasa Melayu lebih memberi makna yang mendalam selain lenggok bahasanya yang lebih indah.

“Saya banyak bereksperimentasi sebelum keluarkan sesuatu karya. Pada awal penglibatan saya dalam industri rap, saya tulis lirik dalam bahasa Inggeris tetapi selepas saya cuba tulis dalam bahasa Melayu, ia ternyata memberi kepuasan buat diri saya.

“Menulis lirik dalam bahasa Melayu lebih memberi emosi dan makna mendalam untuk diri saya. Sebab itulah saya lebih bersemangat untuk tulis dalam bahasa ibunda.

“Secara peribadi, ia lagi mendalam dan tulen. Saya harap sangat selepas ini saya diberi peluang lagi untuk tulis lagu dalam bahasa Melayu,” katanya kepada URTV.

YHB berkata demikian ketika sidang media pelancaran single terbaharunya dengan SonaOne berjudul Jatuh Boi, baru-baru ini.

Mengulas lanjut tentang buah tangan terbaharunya itu, YHB yakin Jatuh Boi mampu memberi impak besar dalam karier seni khususnya muzik hip-hop.

Malah, impiannya untuk berkolaborasi dengan SonaOne juga tercapai dan dilihat sebagai satu langkah bijak dalam mengatur perjalanan seninya.

“SonaOne menjadi antara individu yang saya sanjungi dan kami ada keserasian yang baik. Justeru, kerjasama untuk hasilkan Jatuh Boi agak cepat dan ‘natural’.

“Kami sendiri macam tak percaya bila dapat siapkan lagu Jatuh Boi dalam masa 24 jam menerusi aplikasi Zoom saja. Konsep ini adalah sesuatu yang kami dan ramai orang dapat kaitan dengan diri masing-masing.

“Kami harap dapat beri inspirasi kepada orang lain untuk tidak menyerah kalah dan bangkit kembali ketika terjatuh.

“Jatuh Boi umpa lagu pilihan bagi sesiapa sahaja yang telah melalui masa-masa sukar dan ingin melupakan saat sukar tersebut. Saya ambil satu perkataan dan tukarkan ia menjadi sesuatu yang positif juga sebagai sumber kekuatan,” ulasnya.

Jatuh Boi dihasilkan oleh bintang hip-hop Flightsch dan RIIDEM.