pemulih
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menambah RM2 bilion bantuan kewangan khusus untuk usahawan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menjadikan baki dana keseluruhan kini berjumlah RM8.6 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sehingga kini terdapat RM6.6 bilion baki sedia ada daripada dana keseluruhan, iaitu RM25.1 bilion disediakan BNM untuk manfaat pemohon baharu.

“Melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) hari ini, BNM bersetuju untuk menambah RM2 bilion lagi menjadikan baki dana ini berjumlah RM 8.6 bilion.

“Diharapkan dana ini dapatlah memenuhi pelbagai keperluan PKS dan usahawan mikro dalam meredakan kekangan aliran tunai perniagaan mereka,” katanya dalam perutusan khas PEMULIH, hari ini.

Perdana Menteri berkata, bagi terus menyokong perniagaan mikro, program pembiayaan mikrokredit akan diteruskan dengan tambahan dana sehingga 1.1 bilion ringgit.

Pembiayaan mudah ini akan disediakan oleh AgroBank dan Bank Simpanan Nasional masing-masing berjumlah 500 juta ringgit, dan TEKUN sebanyak 100 juta ringgit. Ini bermakna, termasuk peruntukan sedia ada untuk 2021 sebanyak 3 bilion ringgit dana mikrokredit masih tersedia untuk usahawan mikro, katanya.

Beliau juga berkata, institusi koperasi juga disokong dalam tempoh yang sukar ini melalui peruntukan 20 juta ringgit bagi program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi.

“Program ini membolehkan usahawan menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan melalui koperasi, termasuk memasarkan produk melalui platform dalam talian serta menggalakkan pembelian barangan di kedai koperasi,” katanya.