Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof./ Gambar FB KKR 5 April 2021.

LANGKAH kerajaan memudah cara prosedur Perolehan Kerajaan dalam Fokus Kedua Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pastinya akan membantu memacu sektor pembinaan yang turut terkesan akibat kenaikan harga bahan binaan susulan penularan pandemik.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah tersebut juga akan membantu golongan B40 dalam sektor berkenaan apabila melalui PEMULIH kerajaan telah mengumumkan tiga perkara.

Katanya, pertama untuk membenarkan perubahan harga atau variation of price (VOP) bagi projek kerja berikutan peningkatan ketara kos bahan binaan dari 1 Januari sehingga 31 Disember 2021.

“Kedua, kerajaan membantu kontraktor G1 hingga G4 tempatan melaksanakan projek kerja berskala kecil secara undian dan sebut harga, dengan penggunaan jadual kadar kerja kejuruteraan awam dan bangunan yang baharu serta jadual kadar kerja elektrik.

“Ketiga, membenarkan lanjutan masa atau extension of contract (EOT) projek kerja atau lanjutan tempoh kontrak bagi kontrak bekalan dan perkhidmatan yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP tertakluk kepada klausa kontrak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Fadillah, dengan membenarkan perubahan harga atau VOP bagi projek kerja, ia akan membantu pihak kontraktor akibat kenaikan mendadak harga bahan mentah ketika ini.

Katanya, ini kerana kenaikan bahan mentah turut memberi impak kepada masalah kewangan kontraktor.

“Langkah ini juga dapat melancarkan proses permintaan dan penawaran dalam kerja-kerja pembinaan.

“Dengan membantu kontraktor G1 hinga G4 tempatan melaksanakan projek berskala kecil secara undian dan sebut harga pula, kontraktor berkenaan dapat melaksanakan kerja dengan lebih efektif kerana mendapat harga yang keuntungannya lebih selesa.

“Ia juga memberi peluang kepada lebih ramai kontraktor kecil untuk mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan,” jelasnya.

Tambah beliau, lajutan EOT projek pula akan membolehkan kontraktor menjadual semula jadual kerja bagi memastikan kerja dapat disiapkan sepenuhnya.

Sebaliknya kata Fadillah, jika projek ditamatkan impak kewangan dan masa penyiapan projek yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah lebih tinggi berikutan masa diperlukan untuk melantik kontraktor baru dengan harga baru juga biasanya lebih tinggi daripada kontrak asal.

Baca artikel berkaitan: Perdana Menteri umum PEMULIH bernilai RM150 bilion

Dalam kenyataan itu, beliau juga menyambut baik peruntukan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas akibat pandemik di kawasan masing-masing.

“Ini akan membolehkan lebih ramai rakyat di semua kawasan dapat dibantu dalam keadaan sukar seperti sekarang.

“Pemberian peruntukan tanpa mengenal latarbelakang politik ini juga membuktikan betapa Kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini komited dengan pendekatan prihatin rakyat serta sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan tanpa mengira kepercayaan dan latar belakang politik,” katanya.

Katanya, PEMULIH bernilai RM150 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bersifat inklusif dan menyeluruh, serta menyantuni setiap lapisan rakyat yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) menyambut baik dan menyokong penuh pakej berkenaan, yang jelas menunjukkan betapa kerajaan mendahulukan kesejahteraan rakyat dalam mendepani cabaran besar yang dihadapi negara ketika ini.

“PEMULIH adalah pakej tambahan pemulihan ekonomi yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat dan sedikit sebanyak mampu membantu meringankan beban rakyat yang berdepan keadaan sukar akibat penularan wabak COVID-19,” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram