GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menggunakan peruntukan bernilai RM100 juta dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi program khas pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program khas itu akan membantu perusahaan mikro dalam sektor bukan perlu atau kategori pertama ditutup, terakhir dibuka (FCLO).

Kata beliau, program berkenaan dirancang untuk memberi penyelesaian menyeluruh kepada pengendali FCLO.

Beliau berkata, ia merangkumi nasihat dan perundingan tersusun, bimbingan dan latihan, pembiayaan serta pemantauan kemajuan.

Menurut Wan Junaidi, program itu merupakan kerjasama antara MEDAC dengan dua agensi iaitu TEKUN Nasional dan Institut Keusahawanan Nasional (Insken) akan menyediakan pembiayaan mikro sehingga RM10,000 dan memanfaatkan kira-kira 10,000 usahawan FCLO.

“Buat permulaan, MEDAC telah mengenal pasti kira-kira 1,400 usahawan FCLO daripada 14 perniagaan bukan perlu termasuk perkhidmatan selepas bersalin, spa dan kesihatan, inap desa serta sukan dan rekreasi.

Baca artikel berkaitan: PEMULIH: RM2 bilion bantuan tambahan untuk PKS, dana tambahan mikrokredit RM1.1 bilion

“Program ini bukan hanya memberikan wang untuk membantu perniagaan kerana ia merupakan program yang dirancang untuk memulihkan perniagaan.

“Kami akan bercakap dengan mereka, mengenal pasti masalah, menetapkan penyelesaian yang diperlukan, memberikan pembiayaan dan memantau kemajuan setiap perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.

Usahawan dalam sektor bukan perlu berhadapan cabaran getir kerana tidak dibenarkan beroperasi ekoran penguatkuasaan kawalan pergerakan ketika ini.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, kira-kira empat juta usahawan tempatan bakal kehilangan pekerjaan serta memberi kesan kepada 12 juta rakyat sekiranya kerajaan tidak menyalurkan bantuan.

Ini kerana, kata beliau, hampir 90 peratus sektor PKS adalah daripada segmen bukan perlu.

“Menerusi kaji selidik dijalankan MEDAC mendapati bahawa lebih 80 peratus daripada usahawan FCLO ini adalah dari kalangan berpendapatan rendah (B40). Ramai tidak mempunyai simpanan serta faedah pekerjaan kerana bekerja sendiri.

“Lebih daripada 60 peratus daripada golongan ini malah tidak mempunyai insurans serta tidak mempunyai sebarang pelan perlindungan sekiranya hilang pekerjaan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram