PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menyambut baik perlaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) serta peruntukkan RM100 juta untuk disalurkan kepada penggiat industri seni dan kreatif tanah air seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Malah Seniman menerusi satu kenyataan hari ini, mengucapkan terima kasih kepada barisan pemimpin yang prihatin dengan rintihan anak-anak seni yang terkesan dalam tempoh Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mempunyai empat fasa keseluruhannya.

Menurut Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah, pihaknya akan memantau pelaksanaan agihan peruntukkan RM100 juta untuk penggiat seni agar ia sampai kepada mereka yang memerlukan dan secara tidak langsung dapat meringankan beban anak seni yang masih tidak dibenarkan beroperasi.

“Jika dilihat semula PPN ini, maka industri kreatif akan kembali beroperasi pada fasa ketiga nanti setelah kes jangkitan Covid-19 berkurangan bawah nilai ambang 500 kes sehari.

“Pada jangkaan dalam PPN, ia sekitar bulan Oktober hadapan nanti. Untuk pengetahuan pihak kerajaan, industri kreatif sudah tidak mampu lagi bertahan sekiranya kami tidak dibenarkan beroperasi dalam bulan Julai ini.

“Segala peruntukkan yang diberikan oleh kerajaan dalam pakej-pakej sebelum ini tidak bermakna sekiranya kami masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, Seniman turut memohon agar kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan sebarang aktiviti seni kembali ‘bernafas’ seperti biasa tanpa halangan.

Tambah Seniman lagi, industri kreatif tempatan tidak pernah mencetuskan sebarang kluster yang melibatkan penggambaran hingga boleh menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.

“Seniman percaya industri kreatif juga adalah sektor penting di Malaysia seperti mana yang umum ketahui sektor pengilangan dan pembinaan adalah penyumbang terbesar kepada kes harian Covid-19 dan mereka masih dibenarkan untuk terus beroperasi.

“Jika sektor ini dibenarkan beroperasi, mengapa industri kreatif tidak dibenarkan beroperasi. Kami sedia memenuhi segala garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digunapakai pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang lepas tanpa sebarang masalah.

“Malah, penggiat seni sentiasa patuh kepada SOP serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Seniman sekali lagi mengesa agar industri kreatif dibenarkan beroperasi pada bulan Julai yang akan datang demi kelangsungan hidup warga kerja industri kreatif yang amat terkesan memandangkan 90 peratus daripada kami adalah pekerja yang bekerja berdasarkan ‘project basis’,” ujarnya.