INDUSTRI hiburan tanah air pada pagi ini dikejutkan dengan khabar duka mengenai pemergian bekas ahli kumpulan terkenal Spider iaitu Tony Iskandar.

Tony meninggal dunia pada pukul 2.30 pagi di studio rakaman Luncai Emas milik maestro muzik Datuk M. Nasir yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.

Berita sedih itu turut dikongsikan oleh sahabatnya yang juga pemain gitar kumpulan Exists, Along menerusi entri di Instagram miliknya.

“Pergi lagi seorang sahabat aku. Al-Fatihah buatmu Tony. Semoga Allah SWT tempatkanmu di kalangan orang beriman. Amin.

“Tony Iskandar pemain bass kumpulan Spider telah meninggal dunia. Saya sedang melawat jenazah di studio Luncai Emas dan menunggu pihak hospital tiba.

“Semoga semuanya dipermudahkan urusan,” tulisnya.

Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia ketika sedang berehat di sebuah bilik di studio. Bagaimanapun, Along tidak menolak punca kematian arwah mungkin disebabkan penyakit kencing manis yang sudah lama dihidapinya.

Untuk info, Tony merupakan anggota asal kumpulan Spider bersama Tam, Nafie dan Aie sebelum posisinya digantikan dengan Is.

Meskipun sudah mengundurkan diri dan tidak lagi terbabit dengan kumpulan Spider, namun hubungan mereka masih lagi akrab dan sering berhubung.