SETELAH melalui episod duka kerana dihina mandul oleh individu tidak bertanggungjawab di laman sosial, aktres Elizad Sharifuddin meluahkan rasa terharu dan gembira apabila mendapat panggilan daripada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Elizad,37, berkongsi khabar membahagiakan itu menerusi satu hantaran panjang lebar di Instagram miliknya.

“Saya mahu kongsikan momen istimewa. Hari ni hari yang sangat menggembirakan hati saya. Menerima panggilan telefon dari KDYMM Tuanku Permaisuri Azizah.

“Bertanyakan keadaan saya setelah Tuanku Permaisuri terbaca kisah yang mengatakan saya mandul tempoh hari,” tulisnya.

Ujar Elizad,37, dia menyifatkan panggilan telefon tersebut sebagai sesuatu yang menyentuh hati dan perasaannya.

“Mendapat panggilan telefon daripada Tuanku adalah sesuatu yang sangat menyentuh hati saya.

“Terharu, terkejut, semua ada. Macam mimpi dapat bercakap dengan Tuanku Permaisuri yang saya sendiri jadikan idola dlm cerita perjalanan persenyawaan in-vitro (IVF) saya.

“Sungguhnya, Tuanku Permaisuri sangatlah prihatin dengan kisah saya yang bukanlah siapa-siapa. Tuanku berikan kata-kata semangat bercerita sendiri tentang pengalaman Tuanku sebanyak 17 kali tempuh perjalanan IVF,” luahnya.

Jelas Elizad, kaedah rawatan kesuburan IVF yang pernah dilakukannya itu sememangnya menyakitkan dan hanya mereka yang pernah alami dapat merasai perasaannya.

“Memang menyakitkan. Hanya yang mengalami sahaja yg merasai. Tiada kata yang mampu saya gambarkan, terlalu gembira dapat berbual-bual dengan Permaisuri yg disayangi semua.

“Sempat juga Tuanku selitkan ‘saya tengok drama awak sebelum ni, awak dah tak berlakon lagi?’ Allahuakhbar. Terima kasih Tuanku Permaisuri,” katanya.

Dalam pada itu, Elizad turut menitipkan kata-kata semangat kepada semua wanita yang senasib dengannya agar menghiraukan kecaman yng dilemparkan.

Malah, perkongsian Elizad mengenai perjalanannya dalam IVF adalah untuk memberi informasi kepada mereka yang sedang berusaha mendapatkan zuriat.

“Kepada semua yang sedang cuba untuk hamil (TTC) Kita semua adalah pahlawan.

“Orang boleh bercakap apa sahaja. Hanya kita sesama kita saja yang melaluinya. Kepada mereka yang kecam dan cakap nak buat anak pun nak bising-bising.

“Untuk pengetahuan semua, saya berkongsi kisah perjalanan buat IVF adalah untuk TTC.

“Jangan malu untuk berjumpa dengan pakar. Tiada paksaan untuk ikuti kisah saya. Terpulang kepada anda (pengikut),” jelasnya.