KELAB Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN BBC) mengucapkan tahniah buat kerajaan PN yang mengumumkan bantuan sama rata tidak kira daripada ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang.

DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI NIK SALLEH./ Gambar Fb Pas

Menurut Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, semua ahli Parlimen Pas menyatakan komitmen dalam merealisasikan Program Bakul Makanan yang diperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi setiap ahli Parlimen.

“Pemberian seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah pemerintahan negara kita.

“Rakyat Malaysia yang terjejas boleh dapatkan bantuan melalui Pejabat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen masing-masing dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nik Zawawi, beliau selaku Timbalan Pengerusi PN BBC dan Ketua Dewan Ulamak PAS merakamkan berbanyak- banyak terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas keprihatinan mengurangkan beban rakyat dengan pengumuman pakej rangsangan PEMULIH yang baru diumumkan kelmarin.

Baca artikel berkaitan: Perdana Menteri umum PEMULIH bernilai RM150 bilion

Nik Zawawi berkata, beliau juga mengharapkan agar semua rakyat dapat bersabar untuk melawan ancaman COVID-19 yang melanda negara. Kerajaan sangat memahami penderitaan yang dialami rakyat di semua peringkat.

“Namun nyawa manusia paling berharga dan mesti di jaga oleh kerajaan melalui usaha dan ikhtiar serta tawakal kepada Allah Azzawajalla.

“Doa dan munajat kepada Allah merupakan cara terbaik selepas dilaksanakan segala usaha dan kudrat kita semua.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram