SELEBRITI dan usahawan terkenal, Neelofa mahu menunaikan hasratnya untuk membantu 70 buah keluarga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia susulan dirinya menerima banyak permohonan bantuan menerusi Pertubuhan Kasih Neelofa yang merupakan miliknya.

“Sebelum ini kami hulurkan bantuan kepada komuniti atau rumah-rumah perlindungan.

“Tetapi memandangkan keadaan semakin teruk, Pertubuhan Kasih Neelofa akan mengenal pasti penerima bantuan individu.

“Kami terima terlalu banyak permohonan,” tulisnya menerusi Instagram Story.

Justeru, isteri kepada pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Riz itu, mahu menyalurkan sumbangan kepada 70 buah keluarga yang terpilih bagi mendapatkan bantuan pada minggu ini.

“Insya-Allah minggu ini kami akan sampaikan bantuan kepada 70 buah keluarga yang betul-betul memerlukan dan sangat terjejas.

“Kami akan hulurkan bantuan dalam bentuk makanan dan wang tunai bagi meringankan beban keluarga yang terkesan,” katanya lagi.