Jack Grealish sangat popular dalam penyokong England dan mampu menjadi bintang kejohanan jika diberi kepercayaan oleh Gareth Southgate untuk membarisi kesebelasan utama.

PASUKAN ternama dalam kumpulan maut Euro 2020 semua sudah bye-bye, terbaru Jerman tewas di tangan England pada saingan pusingan kedua malam tadi.

Bermula dengan kekalahan Portugal dan paling di luar jangkaan adalah Perancis yang ditunjuk jalan keluar oleh Switzerland.

‘Mega death’ bintang Kumpulan F ini merancakkan Euro 2020 tetapi pada masa sama ada pemerhati yang bimbang kejohanan ini akan suram.

Namun benarkah tanpa Mbappe, Benzema, Pogba, Ronaldo, Thomas Mueller mahu pun Manuel Nueur, Euro 2020 hilang seri?

Jika sebuah filem, pelakon bertaraf bintang adalah satu elemen penting bagi menarik penonton ke pawagam.

Namun itu sahaja tidak cukup, sebaliknya jalan cerita sesebuah filem juga mesti bagus yang didokong pengarah dan seluruh krew.

Memang ada yang mahu menonton kalau hanya ada bintang sahaja, tetapi bola sepak lebih dari itu.

Ia berkenaan keghairahan dan cinta kepada sukan no 1 dunia itu selain faktor prestij sesebuah kejohanan.

Jika bercakap dari aspek bintang, yang tinggal pada saingan suku akhir bermula awal pagi Sabtu ini juga tidak kurang gahnya.

Skuad England masih ramai selebriti termasuk di bangku simpanan seperti Jack Grealish, begitu juga dalam skuad Belgium dan Sepanyol.

Sungguh pun Itali dalam proses membina semula pasukan, namun sebagai kuasa tradisi bola sepak, Azzuri mempunyai asas peminat yang ramai.

Dua bintang veteran, Bonucci dan Chiellini mengimbangi skuad muda Itali di pentas Euro 2020.

Baca artikel berkaitan: Portugal lebih baik tanpa Ronaldo, persoalan atau kenyataan?

Itali di bawah kendalian Roberto Mancini juga menarik ditonton kesudahannya apabila menampilkan sisi sedikit berbeza daripada era Dino Zoff atau Franco Baresi.

Jadi, Euro 2020 masih mempunyai api. Pasukan Czech, Switzerland, Ukraine dan Denmark mungkin tidak ternama, tetapi mereka juga tidak kurang daya penarik.

Ini seperti mana watak-watak penting yang membawa kejayaan kepada negara underdog dalam edisi Euro terdahulu. Denmark 92 dan Greece 2004 atau Czech sebagai finalis Euro 96.

Malah lebih terkini seperti mana Croatia pada Piala Dunia 2018 di Rusia yang mara hingga ke final walau sekadar sebuah negara kecil di timur Eropoah.

Tunggulah cahaya bintang-bintang ini memukau dunia. Bola sepak tak pernah sunyi dari jalan cerita penuh dramatik yang mampu mengalahkan drama-drama hebat.

Lagi pun tak kan asyik-asyik nak tengok Ronaldo. Bola sepak milik semua. Lainlah WWE yang boleh diatur skripnya mengikut selera.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram