PROGRAM Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) menyasarkan untuk memulihkan ekonomi koperasi yang terjejas menerusi penerokaan peluang baharu.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berkata, insiatif itu adalah di bawah Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi yang melibatkan peruntukan RM20 juta.

Menerusi kenyataan itu, kata SKM, TRANSFER menyasarkan koperasi yang terjejas khususnya dalam sektor pelancongan serta tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu.

Kata suruhanjaya itu, menjadi objektif program ini agar koperasi terlibat dibantu menceburi bidang perniagaan yang baharu, produktif dan mampu memberikan pulangan cepat agar dapat menyedia dan meningkatkan sumber pendapatan.

“Ia juga bagi menggalakkan koperasi untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan tidak tertumpu serta bergantung kepada satu sumber pendapatan.

“Sasaran ditumpukan kepada koperasi yang terjejas khususnya dalam sektor pelancongan dan penjagaan diri seperti hotel, rumah inap, perkhidmatan teksi dan bas, agen pelancongan dan lain-lain,” ujar kenyataan itu.

Menurut SKM, TRANSFER akan dilaksanakan dalam tempoh satu tahun bermula Julai 2021 hingga Julai 2022 kepada setiap koperasi yang layak untuk meneroka dan menceburi perniagaan yang baharu.

“Sebarang maklumat lanjut berhubung program TRANSFER bolehlah terus berhubung dengan ibupejabat SKM dan mana-mana SKM Cawangan Negeri atau layari portal rasmi SKM di www.skm.gov.my,” ujar kenyataan itu.

Kata SKM, program itu juga antara tiga lagi program lain di bawah Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi dalam memulih dan mempergiatkan semula aktiviti ekonomi koperasi.

“Tiga program lain adalah Program Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR), Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) dan Program Dagang Produk atau Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-DAPAT),” kata SKM,