PENULARAN pandemik COVID-19 sejak awal tahun lalu telah memberi tekanan kepada semua golongan apatah lagi ramai yang hilang punca pendapatan.

Perkara itu semakin menghimpit sehingga ada yang sanggup membunuh diri sebagai ‘jalan keluar’ daripada masalah yang dihadapi.

Sejak kebelakangan ini, semakin banyak kes bunuh diri telah dilaporkan hampir setiap hari.

Berdasarkan data polis, sebanyak 631 kes bunuh diri telah dilaporkan sepanjang tahun 2020 manakala 468 kes dikesan berlaku hanya sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Jumlah tersebut meningkat daripada 609 kes yang dicatatkan pada tahun 2019.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, secara purata, dua kes bunuh diri dilaporkan berlaku setiap hari dalam tahun 2019 sehingga Mei 2021.

Baca artikel berkaitan: Benarkah roh merayau selepas bunuh diri? Malam itu dia pulang cari kami…

Kata beliau, sepanjang tempoh antara 2019 hingga Mei 2021, mengikut jantina, seramai 1,427 wanita dilaporkan telah membunuh diri manakala bakinya 281 orang lelaki.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati tiga punca utama yang menyebabkan kejadian bunuh diri adalah disebabkan mangsa menghadapi masalah keluarga, tekanan perasaan dan juga kewangan.

“Kebanyakan mangsa yang terlibat adalah berusia antara 15 hingga 18 tahun iaitu seramai 872 orang manakala mangsa berumur 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang.

“Johor telah mencatatkan kes tertinggi sepanjang tahun 2019 dan 2020 iaitu sebanyak 101 kes.

“Tahun ini pula iaitu antara Januari hingga Mei, Selangor telah mencatatkan kes tertinggi mencecah 117 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Jalil berkata, cara membunuh diri yang paling kerap berlaku adalah sebanyak 75.1 peratus menggantung diri, terjun bangunan (13.6 peratus) dan meminum racun (5.7 peratus).

Katanya, berdasarkan trend kejadian bunuh diri yang berlaku, semua pihak bertanggungjawab terutamanya masyarakat harus memainkan peranan penting bagi membendung gejala ini.

Menurut beliau, individu yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan, masalah keluarga dan sebagainya haruslah diberi bantuan serta sokongan daripada pihak keluarga dan rakan-rakan terdekat.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru individu yang mengalami masalah dan tekanan supaya mendapatkan bantuan serta sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan terdekat dan juga pihak-pihak yang menyediakan khidmat nasihat,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram