DR NOOR HISHAM ABDULLLAH/ Gambar Fb Noor Hisham 1 Jun

SELEPAS 22 hari purata kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) kebangsaan berada di bawah 1.00, ia kembali menunjukkan trend peningkatan Isnin lalu.

Berdasarkan jumlah 6,276 kes dilaporkan semalam, kebolehjangkitan meningkat kepada 1.05 berbanding 1.04 pada hari Selasa.

Sebagai rekod, Rt tertinggi dicatatkan negara adalah 1.21, 22 Mei lalu.

Data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menunjukkan nilai Rt di beberapa negeri mencatatkan peningkatan semalam.

Kebolehjangkitan tertinggi telah direkodkan di Pahang iaitu 1.19 meningkat berbanding 1.17 yang dicatatkan hari sebelumnya.

Kes positif COVID-19 di Pahang melonjak melebihi 200 sejak dua hari lalu dengan 210 jangkitan baharu dilaporkan semalam manakala 250 kes pada hari Selasa.

Selangor yang terus melaporkan kes harian tertinggi pula menyaksikan kadar kebolehjangkitan naik kepada 1.05 semalam.

Peningkatan kebolehjangkitan turut dikesan di Sabah, Pulau Pinang, Johor, Kelantan dan juga Labuan.

Baca artikel berkaitan: 6,276 kes baharu, 2,836 di Selangor

Rt naik balik kepada 1.0, Melaka tertinggi

Kebolehjangkitan COVID-19 Negeri Sembilan, Perak tertinggi

Kesemua negeri tersebut meningkat sedikit melebihi 0.8 dengan Sabah merekodkan 0.94; Pulau Pinang (0.92); Johor (0.92); Kelantan (0.81) dan Labuan (0.96).

Selepas tiada kes dicatatkan pada hari Selasa, kebolehjangkitan di Perlis naik mendadak kepada 0.84 semalam berdasarkan kepada hanya lima jangkitan COVID-19 yang dilaporkan semalam.

Beberapa negeri lain yang merekodkan Rt melebihi 1.0 pula merekodkan penurunan berbanding hari sebelumnya.

Ia termasuk Melaka dan Putrajaya yang menurun kepada 1.09 semalam selepas mencatatkan 1.10 dan 1.11 pada hari Selasa.

Perak turut menurun sedikit kepada 1.08, sama seperti Negeri Sembilan yang merekodkan 1.06 semalam.

Kuala Lumpur yang melaporkan penurunan kepada 625 kes selepas melonjak melebihi empat angka kelmarin juga susut sedikit kepada 1.07.

Kebolehjangkitan di tiga negeri lain iaitu Kedah, Terengganu dan Sarawak pula tidak berubah dengan masing-masing kekal pada tahap 0.97; 0.67 dan 0.91.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram