Ismail Sabri Yaakob/ Gambar FB MKN

BEBERAPA negeri yang mencatatkan penurunan kes harian COVID-19 mungkin akan dapat beralih ke fasa seterusnya kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) tanpa mengikut nilai ambang nasional yang ditetapkan sebelum ini.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia selepas kerajaan sedang mengkaji nilai ambang yang ditetapkan untuk peralihan fasa PPN sebelum ini berdasarkan kepada negeri.

Katanya, ini kerana tidak adil bagi negeri-negeri yang mempunyai kes rendah tidak boleh beralih ke fasa seterusnya hanya kerana negeri lain masih mencatatkan kes tinggi.

“Perlis misalnya, sepatutnya mungkin dah boleh berpindah ke fasa dua sebab kes dua digit malah kadang-kadang satu digit satu hari tetapi kerana kes di Selangor tinggi, Perlis masih diletakkan dalam Fasa Satu sedangkan mungkin dah boleh pindah ke Fasa Dua.

“Sekarang kita sedang perincikan, dah ada cadangan dan dah dibincangkan pun dalam mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), cuma nak perincikan sahaja,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Perlis, Kelantan dan Terengganu dapat kelonggaran masuk Fasa 2 minggu depan

Kes tinggi di Selangor & KL, tindakan diumum petang ini

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) mega Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Semalam, UtusanTV melaporkan tiga buah negeri iaitu Perlis, Terengganu dan Kelantan serta beberapa negeri lain yang mencatatkan kes jangkitan harian COVID-19 rendah dijangka beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan PPN seawal minggu depan.

Memetik sumber, peralihan kepada fasa seterusnya itu dibuat menggunakan nilai ambang negeri-negeri tersebut yang menyaksikan penurunan ketara kes penularan harian.

Sumber berkata, beberapa laporan terperinci berhubung perkara tersebut telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak minggu lalu.

Mengulas mengenai perkara itu, Ismail Sabri menolak laporan tersebut kerana pengumuman rasmi belum lagi dikeluarkan sama ada menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya pun tak tahu daripada sumber mana sebab pengumuman mesti daripada kerajaan sama ada MKN atau KKM.

“Setakat ini, KKM tak beri indikasi apa-apa pun, saya pun tak pernah sebut. Cuma, saya gambarkan ya, kita sedang melihat kepada nilai ambang negeri-negeri, bukan setakat nasional,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram