pkpd
KAWALAN PKPD di salah satu kawasan di Kuala Lumpur. - Gambar hiasan

JUMLAH kes positif COVID-19 di Selangor dan Kuala Lumpur masih berada di tahap tertinggi walaupun selepas beberapa minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Fasa Satu Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sehubungan itu, kerajaan akan mengumumkan tindakan sewajarnya di Selangor dan Kuala Lumpur petang ini bagi memastikan rantaian jangkitan kes dapat diturunkan.

Tindakan yang akan dilakukan mungkin termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam beberapa mukim dan daerah di Selangor.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan memberi tumpuan kepada kedua-dua negeri berkenaan dengan langkah terperinci sedang diperhalusi.

“Kita mudah untuk membuat PKPD di Selangor, kita boleh gunakan daerah dan mukim tetapi di Kuala Lumpur tiada sempadan daerah dari segi pentadbiran, itu yang kita sedang kaji.

Baca artikel berkaitan: Perlis, Kelantan dan Terengganu dapat kelonggaran masuk Fasa 2 minggu depan

“Insya-Allah petang ini saya akan umumkan tindakan kita di Selangor dan Kuala Lumpur yang kita nampak menyebabkan kes tak turun.

“Kes di Selangor campur Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan catat jumlah separuh daripada kes seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut memberi bayangan ada kilang di Selangor akan ditutup susulan pengumumannya petang ini.

“Saya tahu ramai marah kenapa kilang masih dibuka dan sebagainya. Seperti saya dah katakan, siapa yang melanggar arahan dan prosedur operasi standard (SOP) akan diambil tindakan.

“Insya-Allah, kalau saya umumkan tentang Selangor petang ini, mungkin ada gambaran kilang akan ditutup. Mana-mana yang ada dalam mukim tersebut automatik akan ditutup,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram