AWAL Julai ini saya perlu menghadiri satu kursus IT di Pusat Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Kala mengetahui bahawa saya wajib hadir kursus tersebut, hati saya berbelah bahagi. Kalau saya tolak, sudah tentu saya dikenakan tindakan disiplin, kurang-kurang pun terpaksa menghadap majikan dan kemukakan seribu satu alasan. Tidak… tidak boleh. Itu bukan prinsip saya bekerja.

Tapi jika saya bersetuju untuk hadir, bermakna saya harus bersiap sedia dari segi emosi dan mental kerana UM terlalu banyak menyimpan kenangan yang sudah sekian lama saya buang.

Seperti pelajar lain, sepanjang menuntut di universiti saya  mempunyai dua orang kawan yang tak ubah macam saudara kandung sendiri. Mereka Noorshiba dan Fauziah. Saya panggil Noorshiba, Shiba. Kami berasal dari negeri yang sama, Sabah. Sementara Fauziah yang saya panggil Gee, berasal dari Skudai, Johor.

Dari mula saya jejakkan kaki ke UM, mereka berdualah yang mula-mula sekali mendampingi saya. Antara kami, saya akui sayalah yang paling susah. Keluarga saya miskin. Duit belanja jarang saya terima. Mujurlah ada biasiswa.

Namun ia tidaklah sebesar mana, tidak pernah cukup kalau dikira. Saya juga terpaksa bahagikan sedikit wang biasiswa itu pada adik-beradik di kampung. Ikutkan hati mahu saja cari kerja sambilan biar ada sedikit duit untuk beli buku, pen dan barang-barang lain.

Di sini saya kenali dua orang sahabat sejati, Shiba dan Gee…

Orang pertama yang menghalang niat saya itu, Shiba. “Kita dah sem akhir ni, buat apa nak kerja?” marah Shiba bila saya ajukan niat itu. Gee pun sama, tidak bersetuju.

Memang saya tidak ada pilihan lain tambah-tambah pula banyak project paper yang perlu disiapkan. Kos kertas, kajian sini sana, binding dan macam-macam lagi, semua itu membuatkan saya hampir putus semangat.

“Kami kan ada,” pujuk Gee suatu malam pada saya.

Saya sebenarnya malu sebab sudah terlalu banyak mereka bantu. Bukan saja kongsi buku dan bahan rujukan, malah mereka juga sanggup bahagikan makanan yang ada. Satu pinggan kongsi berdua, ada kalanya bertiga.

Perut berkeroncong tidak pernah saya pedulikan. Sehari hanya sekali saya menjamah makanan. Lainnya saya hanya berlapar. Mereka ajak makan, saya tolak. Mereka ajak minum, pun saya tolak. Banyak perkara yang perlu saya dahulukan daripada soal makan. Tubuh saya yang berisi bertukar ceding.

Pengajian itu saya lalui dengan penuh kesukaran. Hanya pada Shiba dan Gee sajalah tempat saya mengadu dan menangis. Baiknya mereka, Shiba dan Gee tidak pernah sekalipun menolak daripada membantu.

Dalam diam saya berjanji dan tidak sabar-sabar mahu membalas jasa mereka. Cepat-cepat cari kerja, dapat duit bayar balik apa yang telah saya pinjam meskipun mereka tidak pernah minta balasan.

“Kau cari kerja, dapat duit tolong keluarga pun dah cukup. Janji tak lupa aku, sudahlah,” kata Gee bila sekali lagi saya luahkan rasa itu.

Gambar hiasan: Bertemu dan berpisah… terlalu pedih untuk saya kenangkan semula.

TIGA TAHUN BERLALU, saya berjaya sudahkan pengajian biarpun hampir kecundang di penghujung jalan. Peperiksaan tamat, tibalah hari untuk kami berpisah dan menentukan jalan hidup masing-masing.

“Tunggu… kita jumpa hari konvo,” ucap Gee, dia ingin pulang ke kampung seketika. Shiba pula ambil keputusan mencari kerja di Kuala Lumpur. Saya juga begitu.

Setiap hari saya menatap surat khabar. Dari satu borang ke borang lain saya isi. Sementara menunggu keputusan permohonan kerja, Shiba kerja di restoran KFC. Saya pula bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi. Gee, dengar khabarnya juga sudah bekerja di Kementerian Pendidikan.

Setelah lima bulan terpisah, kami bertemu di hari konvokesyen. Saya peluk Gee, saya juga peluk Shiba. Tanpa mereka tidak mungkin saya dapat habiskan pengajian dengan cemerlang.

Saya tinggal menyewa bersama Shiba. Suatu hari, saya dan Shiba hadir ke temu duga terbuka di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya. Saya berjaya menjawat salah satu jawatan yang ditawarkan.

Shiba? Bukan rezeki dia agaknya. Sejak itu saya sentiasa sibuk dengan kerja baru dan biasanya awal pagi saya keluar rumah, balik pula lewat malam.

Tanpa saya sedari, hubungan persahabatan dengannya semakin renggang. Dunia baru saya hanya di tempat kerja sedangkan kawan-kawan lama bagaikan tidak penting lagi.

Suatu pagi, ketika saya bersiap ke pejabat saya lihat Shiba juga bergegas hendak keluar bersama sebuah beg pakaian yang besar.

“Nak ke mana pagi-pagi ni?” saya tanya Shiba.

“Balik kampung,” ujarnya ringkas.

“Kenapa balik tak bagitau?” saya terkejut. Shiba hanya diam tanpa suara.

Saya marah, dalam masa yang sama saya juga sedih dengan tindakan Shiba yang pulang ke kampung tanpa memaklumkan dahulu kepada saya.

Dalam hati, saya menahan marah. Sampai hati dia meninggalkan saya. Sebaik pulang dari kerja saya terima nota yang terselit di balik pintu bilik.

“Aku minta maaf, aku terpaksa balik kampung. Kau jaga diri baik-baik,” pesan Shiba membuatkan setitik dua manik halus mengalir di pipi.

SELANG SETAHUN, suatu hari di stesen LRT Putra saya terlihat kelibat seorang gadis persis Shiba. Saya bergegas mengekorinya, saya cuit bahu kanannya namun sebaik gadis itu menoleh saya terkejut. Silap orang.

Malam itu tidur saya tidak lena. Fikiran saya berlegar pada Shiba. Saya capai telefon cuba menghubunginya namun gagal. Keesokannya saya dikejutkan sebaik menerima SMS yang menyatakan Shiba meninggal dunia kerana Hepatitis B.

Saya termangu sendirian. Shiba, kenapa sakit tak beritau aku?!! Saya meraung di dalam hati. Wajah Shiba bermain-main di ruang ingatan saya. Tubuh saya menggeletar.

Terlalu banyak jasa Shiba pada saya. Tidak mungkin saya lupa pengorbanannya selama kami di UM. Dada ini menjadi terlalu sebak apabila terkenangkan dia dihalau dari dewan kuliah gara-gara tidak memiliki buku rujukan yang diwajibkan ke atas semua pelajar.

Air mata saya mengalir kala melihat dia melangkah keluar sedangkan sayalah yang sepatutnya dihukum. Buku yang pada saya itu bukunya, saya pinjam dari Shiba sebab saya tidak mampu beli.

“Tak apalah… kau pakai dulu. Kita kongsi sama-sama,” kata Shiba bila saya pulangkan buku rujukan itu padanya.

Siang malam saya menangis, dua tiga kali saya ponteng. Kalau hadir sudah tentu Shiba tidak biarkan saya dihalau. Tidak sanggup saya lihat Shiba jadi mangsa kesusahan saya lagi.

Shiba dan Gee banyak berkorban untuk saya.

Shiba datang memujuk ketika semangat saya untuk meneruskan pengajian hampir musnah. Bersama Gee, mereka belikan saya buku rujukan baru dan mahu saya kembali ke kuliah, belajar sama-sama. Begitu besar pengorbanannya kepada saya.

Shiba jugalah yang menyelamatkan saya apabila di hari-hari terakhir pengajian, saya diserang demam panas. Selain menemani saya di bilik, Shiba siapkan kerja-kerja akhir saya. Saya lihat Shiba lena di depan komputer yang masih bercahaya. Bertungkus-lumus dia dan Gee menyiapkan tugasan itu bagi memastikan saya lulus pengajian.

Beberapa bulan berlalu, emosi saya kembali stabil. Hati saya terubat sebaik mendapat berita Gee akan berumah tangga tidak lama lagi. Saya berhasrat mahu berkunjung ke Skudai, Johor bila ada masa yang sesuai.

Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Bagaikan ada jurang yang luas menyebabkan saya masih tidak sempat-sempat menghubungi Gee.

Hinggalah pada 31 Disember 2004, saya hantarkan SMS untuk mengucapkan selamat ulang tahun buat Gee yang menyambut hari lahirnya.

Tiada jawapan yang saya terima. Saya kira Gee sudah lupakan saya. Maklumlah dia sudah berumah tangga. Tiba-tiba telefon saya berbunyi. Di atas skrin nama Gee tertera. “Hey… baru nak call?” ucap saya sambil ketawa.

Senyap, tiada jawapan yang saya terima. “Helooo…” kata saya.

Ada esak tangis di hujung talian; “Na… ni mak cik, Na.”

Saya yang mendengar terus menekup mulut. Berulang kali saya memohon maaf atas kekasaran tadi. Saya tanya mana Gee? Namun tiada jawapan yang saya terima. “Kenapa ni mak cik?”  saya tanya lagi, kali ini hati saya berdebar hairan.

“Gee dah tak ada, dia dah meninggal…”

Bagaimana haru saya meminta maaf kepada mereka?

Kata-kata itu tepat menikam ke hulu hati apalagi bila mendapat tahu Gee meninggal akibat kanser kelenjar. Seluruh tubuh saya menggigil. Saya menangis semahu-mahunya. Sayup-sayup di hujung talian saya dengar ada anak kecil memanggil ‘ayah, ayah.’

“Tu cucu mak cik, anak perempuan Gee,” kata-kata itu membuatkan saya terus meraung.

Tiada apa yang dapat saya ucapkan selain rasa kesal yang tidak pernah sudah. Kini kedua-dua orang sahabat telah pergi meninggalkan saya, sedangkan bukan sahaja hutang yang belum sempat saya bayar malah jasa baik mereka pun tidak terbalas oleh saya.

Kala bersendirian, saya menangis. Saya rindu pada Shiba. Saya kesal kerana tidak menjamah ayam KFC yang dibawanya pulang. Begitu juga kentang goreng kegemaran saya.

Mungkin kerana itu Shiba kecil hati dengan sikap saya yang sudah banyak berubah. Bukan itu sahaja, saya juga menolak setiap kali Shiba mengajak saya makan mi maggie semangkuk dengannya seperti yang selalu kami lakukan masa di UM dulu.

Hujung minggu banyak saya habiskan masa dengan teman-teman sepejabat. Shiba saya tinggalkan sendirian. Gee pun begitu. Banyak hal Gee tidak saya ambil kisah. Hinggakan majlis perkahwinannya pun saya tidak hadir.

Andai saya mampu mengubah masa, akan saya betulkan kesilapan ini. Tapi apakan daya, semua ini telah berlaku. Setelah kehilangan insan yang banyak membantu saya, barulah saya sedar betapa besarnya nilai sebuah persahabatan. Bukan wang ringgit jadi ukuran namun keikhlasan itu sudah cukup membuatkan saya tidak akan melupakan mereka hingga akhir hayat.

Pada siapa saya harus memohon maaf? Mereka sudah lama pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya.

Oleh: Sakinah Sahwati Nazli, Ampang, Kuala Lumpur.

————————-

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam